Cari kaedah kesan 'pengundi malaikat', sindir BN
Bukan sahaja kewujudan pengundi hantu dibimbangi parti-parti politik, malah kini kehadiran "pengundi malaikat" juga menjadi kebimbangan mereka.
Dalam nada menyindir, Setiausaha BN Kelantan Datuk Mohd Alwi Che Ahmad menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencari mekanisme bagi mengesan "pengundi" berkenaan.
Perkara itu dinyatakan selepas seorang pemimpin Pemuda PAS mengatakan parti itu boleh memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) melalui bantuan malaikat jika diizinkan Allah.
Menurut Mohd Alwi, sekiranya SPR berjaya mengatasi masalah pengundi hantu, agensi yang diketuai Tan Sri Mohd Hashim Abdullah itu juga dirayu mengkaji kaedah bagi mengesan pengundi malaikat.
“Saya nak merayu kepada SPR yang diketuai oleh Tan Sri Hashim supaya menyediakan prasarana yang cukup kerana bukan sahaja manusia yang akan membuang undi tapi (juga) malaikat.
"Setakat ini tak ada lagi kaedah oleh SPR, pengundi hantu berjaya dikesan tapi pengundi malaikat ini dia tak ada sistem lagi," katanya dengan reaksi spontan kepada media ketika diminta memberi respon mengenai isu tersebut.
Beliau ditemui media ketika menghadiri taklimat Pelancaran Manifesto BN Kelantan PRU14 di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi menempelak sesetengah musuh politik PAS yang beranggapan parti itu tidak mampu memenangi PRU14 selepas tidak lagi bekerjasama dengan parti lain.
Katanya, PAS meletakkan keyakinan bahawa Allah akan memberi kemenangan dalam mana-mana perjuangan menegakkan Islam.
Mengambil iktibar dalam peristiwa Perang Badar jelasnya, Allah membantu tentera Islam dengan menghantar malaikat berkuda dan bersenjata pedang untuk memerangi musuh.
"Allah kalau nak tolong kita, seribu cara dia boleh tolong walaupun (kita hanya) masuk pilihan raya, bukan berperang.
"Allah boleh tolong macam mana? Ambo (saya) nak buat contoh mudah. Kalau Perang Badar dulu Allah hantar malaikat bawa pedang, naik kuda pergi berperang bersama orang Islam.
"Habis lari tentera kapir walaupun mereka ramai, tentera Islam hanya 313 orang. Mereka lari sebab nampak tentera Islam yang ramai, ramai datang dari mana?
"Itulah malaikat Allah, Allah hantar nak bagi kegerunan kepada tentera kafir," katanya ketika berceramah di Kampung Kemumin di Kota Bharu, 9 April lalu.
Bimbang malaikat turun mengundi
Sementara itu Mohd Alwi berkata pihaknya bimbang jika malaikat turun mengundi dengan menunjukkan kad pengenalan serta mengemukakan jari untuk di celup, sama ada menggunakan daftar pemilih yang sah atau sebaliknya.
Ini kerana katanya, setiap pengundi perlu berdaftar dengan SPR.
Namun katanya, sekiranya malaikat menyerupai manusia dan mengundi, ia dibimbangi menimbulkan kekeliruan apabila pengundi sebenar turut datang mengundi pada hari pengundian 9 Mei depan.
"Saya berharap SPR bersedia menghadapi kemungkinan itu, kerana SPR sudah terbukti berjaya menghalang pengundi hantu," katanya yang juga penyandang anggota dewan undangan negeri (ADUN) Kok Lanas.

