Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis NS kenal pasti 40 kawasan panas PRU14
Diterbitkan:  Apr 20, 2018 5:52 AM
Dikemaskini: 10:22 PM

PRU14 l Polis Negeri Sembilan mengenal pasti 40 kawasan panas yang perlu diberi perhatian sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Polis negeri Datuk Noor Azam Jamaludin berkata polis juga telah mengenal pasti individu yang berisiko menjadi ejen provokasi dan mencetuskan ketegangan semasa perjalanan proses pilihan raya umum nanti.

Polis Negeri Sembilan akan menugaskan 3,700 pegawai dan anggota bagi memastikan PRU14 berjalan lancar, katanya kepada pemberita selepas majlis kempen derma darah bersempena Peringatan Hari Polis ke-211 2018 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Seremban semalam.

Beliau turut menasihatkan calon dan penyokong parti supaya mengikut peraturan dan arahan pihak polis serta patuh kepada undang-undang negara agar tidak timbul ketegangan semasa berkempen.

"Semasa berkempen, saya minta mereka supaya jangan sentuh isu-isu sensitif, perkauman dan keagamaan yang boleh menimbulkan ketegangan. Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan salah-laku dan pelanggaran undang-undang,” katanya.

Ketika berucap di majlis itu, Noor Azam berkata kempen itu merupakan khidmat polis pada masyarakat yang memerlukan bantuan dan selaras dengan konsep polis dan masyarakat berpisah tiada.

Menurutnya, kempen itu turut diperluaskan ke semua IPD di negeri tersebut. .

- Bernama

Lihat Komen
ADS