Laman web rasmi Barisan Nasional hari menerbitkan kenyataan menafikan gambar tular sekotak wang yang didakwa ditemui bersama suatu kemalangan yang dikatakan membabitkan pemimpin Umno Semporna di Sabah.

"Tular di dalam aplikasi sembang Whatsapp dan Facebook kononnya seorang ahli politik Barisan Nasional Sabah telah terlibat di dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia.

"Turut disebarkan adalah gambar sekotak wang yang kononmya ditemui bersamanya ketika kemalangan tersebut," kata kenyataan di Barisannasional.org.my.

Laman BN itu juga menjelaskan kemalangan tersebut tidak membabitkan pemimpin Umno Semporna.

Tiada kotak berisi wang

"Tetapi melibatkan pemandunya sahaja dan tidak ditemui kotak yang berisi wang seperti yang ditularkan di laman-laman media sosial," tulis penafian laman BN.

"Mesej wang di dalam kotak yang dikepilkan bersama mesej berkenaan yang kononnya ditemui bersama mangsa itu adalah gambar berbeza dalam kes wang palsu yang berlaku pada Februari 2018 lalu," kata kenyataan di laman BN itu sambil menyebut pihak polis telah menafikan kesahihan mesej bergambar berkenaan.

Kenyataan itu juga menyalahkan sikap pembangkang dalam hal ini.

"Sikap pihak pembangkang menggabungkan pelbagai sumber berita berbeza dah dijadikan satu berita untuk dikaitkan dengan pimpinan Barisan Nasional adalah sangat tidak bertanggungjawab," kata kenyataan itu lagi.

Empat gambar viral

Mesej viral yang dinafikan web BN itu terdiri daripada empat gambar.

Gambar pertama menggambarkan kemalangan antara Toyota Land Cruiser dan lori, yang kedua menunjukkan sebuah kotak dengan nota RM100 nota, yang ketiga pula sudut pandangan belakang Toyota Land Cruiser dan keempat, imej pemimpin BN Semporna.

Pemandu kepada pemimpin Umno Semporna yang dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini, isteri pemimpin Umno yang turut berada di kenderaan pacuan empat roda itu mengalami pendarahan dalaman di bahagian abdomen dan patah tulang paha.

Beliau sedang dirawat di Hospital Duchess of Kent di Sandakan.