Mahkamah Agung Ontario mendedahkan dokumen mahkamah berhubung saman oleh sebuah NGO alam sekitar Switzerland yang memohon penjelasan mengenai aliran wang yang disalurkan kepada  firma Kanada yang dikaitkan dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Keuntungannya didakwa berasal dari cara rasuah.

Menurut Bloomberg, hakim Frederick Myers memerintahkan supaya dokumen berkenaan didedahkan memandangkan "mungkin terdapat salah laku jenayah yang sangat ketara dilakukan di sini dalam membantu pegawai asing yang korup" sekiranya bukti dari NGO Swiss Bruno Manser Fonds (BMF) dapat disahkan.

Bloomberg melaporkan bahawa dokumen mahkamah mendedahkan keluarga Taib telah dituduh menggunakan wang berkenaan untuk membiayai pengembangan Kumpulan Sakto, sebuah syarikat hartanah di Ottawa yang mempunyai empayar bernilai kira-kira C$259.06 juta (RM795.5 juta).

NGO itu memohon untuk memaksa Royal Bank of Canada, Toronto-Dominion Bank, Manulife Financial Corp dan Deloitte & Touch untuk mendedahkan maklumat pemilikan benefisial dan rekod aliran wang yang dikatakan mencurigakan dari Malaysia ke Sakto, untuk menentukan sama ada terdapat alasan untuk kes jenayah.

BMF menuduh bekas ketua menteri itu dan keluarganya menyalurkan dana yang diperolehi menerusi penebangan hutan secara besar-besaran di Sarawak, dan "dengan menstrukturkan aktiviti perdagangan negeri secara tidak sah".

"Dianggarkan bahawa beliau (Taib) adalah antara orang terkaya di Asia Tenggara.

"Dia dan tidak ada anggota keluarganya yang kaya sebelum dia mengambil alih tugas pada tahun 1981," petik tuntutan saman itu.

[Baca berita penuh]