Kerajaan Terengganu mahu Universiti Darul Iman (UDI) yang dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun depan menawarkan kursus perubatan.

Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh berkata beliau akan mengajukan permintaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana langkah itu dapat membantu kekurangan doktor di negeri tersebut.

" Langkah itu adalah untuk membuka peluang kepada anak tempatan khususnya pelajar Melayu mengikuti bidang perubatan yang kini masih kurang disertai oleh kaum bumiputera.

"Memang menjadi cita-cita rakyat Terengganu untuk melihat sebuah fakulti perubatan diwujudkan di negeri ini sesuai dengan penubuhan UDI tidak lama lagi,"katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hamper kepada para pesakit di wad Hospital daerah Besut di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Idris berkata, buat masa ini negeri Terengganu masih memerlukan khidmat ramai doktor perubatan bagi memastikan setiap rakyat mendapat khidmat rawatan yang terbaik.

Katanya data yang diperolehi daripada Jabatan Kesihatan menunjukkan Terengganu mengalami kekurangan 40 peratus tenaga doktor untuk ditempatkan di hospital dan pusat kesihatan di seluruh negeri.

Namun begitu, beliau berpuas hati dengan tahap perkhidmatan perubatan yang diberikan di negeri ini walaupun mengalami kekurangan para doktor.