Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan mencadangkan kepada kerajaan supaya Muzium Tekstil yang kini dalam proses pengubahsuaian dinamakan "Muzium Tekstil Datin Seri Endon".

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sebagai pendukung kuat usaha memartabatkan dan menghidupkan semula warisan seni negara, terutama seni tekstil batik dan songket, adalah amat sesuai nama Allahyarham diabadikan pada muzium itu.

Muzium itu yang ditempatkan di sebuah bangunan berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad kini dalam proses pengubahsuaian dan dijangka siap pada tahun depan.

Rais berkata demikian selepas merasmikan program budaya hidangan tradisional di bulan Ramadan di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood, 64, meninggal dunia pada 7.55 pagi semalam selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser payu dara.

Belaiu menjelaskan bangunan itu baru sahaja diserahkan oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) kepada kementerian tersebut.

Dalam laporan Bernama, Rais berkata, Allahyarham Endon dijadualkan melawat premis muzium itu pada bulan November ini "tetapi apakan daya ajal sudah menemuinya. Jadi kami akan teruskan juga program ini."

Program warisan

Tambahnya lagi, kehilangan Endon amat dirasai oleh kementerian itu kerana Allahyarham merupakan seorang pendukung dan penyokong kuat kepada warisan negara.

"Tanpa penglibatan Allahyarham saya khuatir kita tidak akan mencapai populariti yang dicapai selama ini," katanya

Bagi mengenang usaha gigih Allahyarham dalam menyemarakkan seni dan budaya negara, beliau berkata kementerian itu merancang untuk menganjur dan mempromosikan "program-program warisan yang begitu dekat dengan jiwa sanubari Datin Seri Endon."

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai program itu akan diumumkan kemudian namun fokusnya adalah terhadap memperingati sumbangan Allahyarham dalam meningkatkan semula imej batik dan songket.

Kementerian itu juga akan bekerjasama dengan stesen televisyen TV3 untuk melaksanakan program-program nostalgia bagi memperingati sumbangan dan khidmat Allahyarham, katanya.