Malaysiakini (MK): Mengapa Pemuda PAS menyokong Kerajaan PAS Kelantan menganjurkan konsert hiburan Mawi di Kota Bharu baru-baru ini?

Sallehuddin Ayub (SA): Konsert itu bukan semata-mata untuk hiburan tetapi yang lebih penting ialah dakwah. Konsert tersebut berlangsung dalam perpektif yang tidak meninggalkan nilai-nilai agama Islam. Ini yang penting.

MK: Untuk apakah konsert sedemikian rupa diadakan oleh Kerajaan PAS Kelantan setelah sekian lama ia diharamkan?

SA: Ada dua matlamat. Pertama, untuk kepentingan politik iaitu menarik golongan muda supaya menyokong PAS. Saya melihat melalui konsert seperti ini ia memberi peluang yang baik kepada kita untuk mendekati orang muda.

Matlamat yang kedua ialah PAS tidak menentang hiburan selagi ia tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama Islam. Malah Pemuda PAS menyokong untuk mengadakan lebih banyak hiburan yang serupa.

MK: Apakah ini menandakan PAS sudah mula menampakkan dasarnya yang lebih terbuka?

SA: PAS sedang dalam proses perubahan selaras dengan hasrat perwakilan dalam muktamar parti di Kota Bharu beberapa bulan lalu. Kini PAS lebih terbuka dalam pendekatan strateginya dan ia akan merimaskan Umno.

MK: Dewan Ulamak PAS menentang keras konsert tersebut. Adakah ini bermakna berlaku perselisihan di dalam parti?

SA: Kita diizinkan untuk berbeza pendapat. Setiap ahli boleh mengkritik pemimpin dan mereka menerima kritikan tersebut dengan terbuka.

Mungkin (konsert) ini perkara baru dan ini menyebabkan ada yang menentangnya. Tetapi saya tidak menganggap ia sebagai satu isu yang besar. Sebenarnya konsert seperti ini merupakan satu pembaharuan politik dalam PAS.

MK: Apakah pembaharuan yang sedang dilakukan terutama membabitkan Pemuda?

SA: Kami amat serius mendekati golongan muda dan semua golongan masyarakat yang lain. PAS sedang memasuki ruang masyarakat yang lebih luas. Baru-baru ini kami bermain bolasepak dengan artis negara kita.

Kami mahu mendekatkan masyarakat dengan PAS. Jika ini berlaku ia akan memberi saingan kepada Umno. Perjuangan Pemuda PAS sangat konsisten. Kami mahu menjadikan PAS sebuah parti yang berkhidmat untuk rakyat.

MK: Mengapa Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal walaupun sudah 30 tahun dilancarkan.

SA: Kerajaan telah membelanjakan RM800 bilion untuk DEB tetapi tidak dapat membantu mengukuhkan penguasaan dan pegangan ekonomi orang Melayu. Penguasaan persendirian orang Melayu hanya beberapa peratus.

Banyak kepentingan orang Melayu seperti Bank Islam, UDA dan Mara perlu dipertahankan kerana ia untuk orang-orang Melayu sendiri. Kita minta kerajaan jangan mengkhianati kepercayaan orang Melayu kepada mereka.

Perkara ini berlaku kerana amalan rasuah yang berleluasa dan ditambah dengan penguatkuasaan yang lemah. Sistem penghantaran juga tidak berkesan dan menyukarkan.

MK: Kerajaan mendakwa membasmi rasuah adalah agenda utama?

SA: Itu cakap sahaja. Integriti kerajaan dipersoalkan. Penyelesaian melalui saluran politik tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Itu juga boleh dikatakan umpan politik yang dibuat oleh kerajaan untuk kepentingan mereka.

Bagaimana penguatkuasaan yang dibuat untuk membasmi rasuah? Penguatkuasaan yang paling penting. Tanpa penguatkuasaan usaha untuk membasmi rasuah sekadar menjadi cakap-cakap kosong sahaja. Tanpa penguatkuasaan rasuah akan berkembang.

MK: PAS tentu lega kerana kerajaan memberi semula bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR)? Banyak SAR yang menjadi tempat PAS menanamkan pengaruh.

SA: Bantuan untuk SAR diberi semula kerana desakan yang dibuat oleh rakyat. Sekarang kita boleh lihat bagaimana kerajaan melayan institusi pendidikan agama. Tetapi kerajaan tidak ikhlas. Berapa banyak sekolah yang ia bantu?

Sekolah agama perlu dibantu.tidak kira yang berdaftar dengan kerajaan atau tidak. Sekolah agama Pahang, di Melaka dan di mana juga perlu dibantu. Sekolah agama memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan negara.

MK: Adakah saudara berpuashati dengan kan yang berterusan parti.

SA: Saya belum puashati Banyak yang perlu dibuat lagi. Saya menasihatkan ahli PAS supaya jangan berpuashati. Kalau puashati program akan terhenti setakat itu sahaja. Kita perlu bekerja dan terus bekerja.sehingga berjaya.

MK: Apakah program yang dikenal pasti oleh Pemuda PAS yang menjadi keutamaan?

SA: PAS adalah sebuah parti politik yang mahu berhidmat untuk rakyat. Kita mendekati masyarakat, bukan sahaja orang Melayu, orang Cina, orang India tetapi semua orang. Pemuda menjadi pemandu arah kepada perubahan yang sedang kita lakukan. Kita sudah mendekati golongan artis, bermain bola dengan mereka. Kita juga terlibat dengan kerja-kerja sosial.

Pemuda PAS juga lantang memperjuangan isu antarabangsa yang membabitkan umat Islam seperti Isu Selatan Thailand, Bangsa Moro di Selatan Filipina, Palestin, Kashmir. Kita juga menghantar bantuan kewangan, pakaian, makanan dan doktor ketika tsunami di Acheh dan gempa bumi di Pakistan.