Pak Lah tabah walaupun sunyi
Sehari selepas isterinya meninggal dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui beliau terasa sunyi.
"Sunyilah...sunyi," katanya kepada pemberita selepas menziarahi pusara Datin Seri Endon Mahmood di tanah perkuburan Presint 20 di sini sebelum solat Jumaat.
Sehari selepas isterinya meninggal dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui beliau terasa sunyi.
"Sunyilah...sunyi," katanya kepada pemberita selepas menziarahi pusara Datin Seri Endon Mahmood di tanah perkuburan Presint 20 di sini sebelum solat Jumaat.
Walaupun begitu sedih dengan kehilangan isteri tersayang, Abdullah berkata beliau tidak bercadang untuk berehat sebaliknya akan kembali bertugas seperti biasa.
Perdana Menteri tiba di tanah perkuburan itu pada 12.30 tengah hari dengan diiringi kedua-dua anaknya serta menantu lelaki dan menantu perempuan beliau selain keempat-empat cucunya. Turut berada di situ ialah sahabat karib Endon, Leela Mohamad Ali.
Menurut laporan Bernama, Abdullah, yang memakai baju berlengan pendek serta bersongkok, membenarkan wartawan termasuk krew televisyen membuat laporan berhubung ziarahnya itu. Seperti semalam, mereka menabur bunga dan merinjis air di pusara.
Kalungan bunga yang diberikan oleh orang ramai sebagai tanda ucap takziah masih dibawa dari kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di Presint 10, dan kelopaknya ditabur di kubur allahyarham.
Endon, 64, meninggal dunia di Seri Perdana pada 7.55 pagi semalam akibat kanser payu dara.
Abdullah berkata beliau terlena awal malam tadi selepas dua hari tidak dapat tidur langsung.
Ketika ditanya bagaimana beliau mampu kelihatan tenang di saat-saat kehilangan isterinya, Perdana Menteri berkata ia mungkin ada kaitan dengan pegangan agama.
"Agama kita mengajar kita supaya banyak bersabar walaupun kita kehilangan ahli keluarga," katanya.

