Mogok dua minggu jika PRU 'kotor', kata pensyarah undang-undang
PRU14 | Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya, Azmi Sharom mencadangkan pihak yang percaya pilihan raya umum dikendalikan secara 'kotor' dan mahu membuat bantahan boleh melakukannya dengan mengadakan mogok selama dua minggu.
Azmi menjawab soalan berhubung tindakan yang perlu dilakukan orang ramai sekiranya pilihan raya umum diadakan "dengan cara yang kotor" pada satu forum di Kuala Lumpur malam tadi.
Azmi memetik Perlembagaan Persekutuan berkata rakyat bebas membantah jika mereka percaya PRU ini 'kotor'.
"Ini adalah hak kita yang termaktub dalam perlembagaan, ia sesuatu yang boleh kita lakukan secara aman.
"Jika kita tidak berpuas hati, kita harus menunjukkan rasa tidak puas hati kepada sesiapa yang berkuasa," katanya.

Beliau berkata rakyat memiliki kuasa tetapi tidak sedar akan kuasa itu.
"Jika kita mahu melakukan sesuatu secara aman, ia cukup mudah.
"Jangan pergi kerja. Bagaimana keadaan negara jika kita tidak bekerja selama dua minggu?
"Kerajaan tidak menggerakkan negara, kita yang menggerakkan negara ini," kata beliau bersambut tepukan hadirin pada forum itu.
Seterusnya, Azmi menegaskan kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa jika rakyat memutuskan untuk tidak bekerja selama "dua minggu, tiga minggu atau satu bulan".
"Kitalah yang berkerja untuk negara ini, bukan kerajaan, jadi jangan lupa," kata beliau lagi.

Manakala itu, sekiranya kerajaan baru menang dalam PRU14 akan datang ini, Azmi berkata dalam tempoh enam bulan ia perlu memastikan pelaksanaan janji Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memansuhkan undang-undang menindas.
"Mereka harus menghapus semua undang-undang buruk ini.
"Sekiranya Pakatan Harapan menang, enam bulan pertama itu sangat penting, kita perlu memberi gabungan itu tempoh berbulan madu hanya seminggu dan kemudian masanya untuk kembali bekerja," katanya.
PRU14 akan berlangsung pada 9 Mei ini.
Azmi merupakan antara empat ahli panel yang bercakap mengenai patriot sejati.
Ahli panelis lain ialah aktivis sosial Marina Mahathir, peguam terkenal Datuk Ambiga Sreenevasan dan penyandangnya ahli politik Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar.
Forum bual bicara itu anjuran Gerakan Jalur Gemilang.
[Baca berita penuh]

