Nawawi akui Tun memang hebat, tapi 'masa dah berlalu'
Penyandang kerusi parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad berkata walaupun pencabarnya Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai pemikiran yang kuat, bekas perdana menteri itu tidak mempunyai tenaga untuk bekerja di kawasan tersebut.
Ini, katanya, berdasarkan faktor umurnya yang mencecah 93 tahun.
"Tun Mahathir adalah pemimpin yang hebat dan mempunyai pemikiran yang tajam, tetapi saya rasa keadaan sekarang bukan lagi untuk masa beliau kerana masa beliau telah berlalu.
“Umur dia menuju ke arah 100 tahun dan sudah tentu sebagai seorang manusia dia mempunyai batasan dari segi fizikal, tenaga dan masa kerana mungkin satu hari dia tak boleh kerja 24 jam macam orang muda macam kita, tetapi hanya beberapa jam sahaja,” katanya.
Nawawi berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman calon BN Kedah di kediaman rasmi menteri besar di Alor Setar, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan Nawawi bertanding di parlimen Langkawi bagi berdepan bekas perdana menteri 22 tahun itu.
Walaupun kini berlainan parti, Nawawi bagaimanapun mengakui menghormati Dr Mahathir.
Namun, katanya, rakyat Langkawi mahukan pemimpin yang boleh bekerja setiap masa.
"Sebab itu, saya rasa kita memang menghormati Tun Mahathir, namun begitu saya yakin dan percaya pengundi-pengundi Langkawi akan memilih wakil rakyat yang boleh bekerja untuk mereka siang dan malam di tempat mereka sendiri kerana wakil rakyat adalah wakil untuk melaksanakan apa-apa saja masalah rakyat di bawahan.
“Jadi saya berpendapat bahawa orang Langkawi akan memberi sokongan kepada BN,” katanya.
Pada PRU13, Nawawi memenangi kerusi Langkawi dengan majoriti 11,861 undi, BN memperoleh 21,407 undi berbanding Datuk Ahmad Abdullah PKR 9,546 dan calon bebas Marina Hussein 180 undi.
Dua DUN bawah parlimen Langkawi iaitu Ayer Hangat dan Kuah juga kekal ditandingi oleh penyandang iaitu Mohd Rawi Abd Hamid yang sebelum ini menang menewaskan calon PAS dengan majoriti 5,311 dan penyandang DUN Kuah Nor Saidi Nanyan menang menewaskan calon PKR dengan majoriti 6,254 undi.
Nawawi merupakan ADUN Kuah sejak 2004 sebelum bertanding di Parlimen.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.