BERITA

'Adakala anda terpilih, adakala tidak'

Geraldine Tong

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Apr 2018, 12:51 tengahari

PRU14 | Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pengguguran penyandang kerusi Parlimen dan DUN daripada bertanding untuk pilihan raya kali ini adalah satu lumrah.

"Tiada apa-apa. Ia perkara biasa dalam politik," katanya ketika ditanya pemberita pada sidang media selepas taklimat calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Petaling Jaya hari ini.

Diminta mengulas dengan lebih lanjut, beliau berkata: "Ia perkara biasa dalam pilihan raya umum. Adakala anda terpilih, adakala tidak."

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad - yang pada mulanya memberikan mikrofon kepada Wan Azizah untuk menjawab soalan itu - kemudian mengambilnya semula dan berkata BN sebenarnya lebih teruk dalam soal menggugurkan penyandang.

"BN berhadapan masalah lebih besar. Ramai penyandang digugurkan dan digantikan dengan muka baru.

"Mereka tidak gembira dan ada membayangkan mahu menyertai HARAPAN," katanya.

Diminta menyatakan jumlah penyandang yang menimbang perkara itu, Mahathir membetulkan yang mereka tidak ramai tetapi semuanya tokoh yang dikenali.

"Saya tidak akan menamakan mereka kerana ia akan memalukan," katanya lagi.

Ketika ditanya lagi berhubung pengguguran penyandang dalam HARAPAN sendiri, beliau berkata pimpinan akan mengadakan pertemuan dengan mereka.

"Apabila anda memilih (calon), akan ada yang kecewa.

"Tapi kami akan berjumpa dengan berbincang (dengan mereka), dan kebanyakannya tahu ini bukan pilihan raya untuk melantik sesiapa sebagai calon.

"Ini adalah pilihan raya yang bertumpu kepada menumbangkan (Presiden Umno) Datuk Seri Najib Razak," katanya lagi.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.