Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kavyeas dakwa letak jawatan, parti kata kena pecat
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 12:13 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Pandangan yang bercanggahan timbul setelah Tan Sri M Kayveas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden MyPPP selepas menerajui parti itu selama lebih dua dekad.

Dalam satu hantaran di Twitter, bekas ahli Parlimen Taiping itu berkata peletakan jawatannya sebagai presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) dan penasihat kerajaan Perak berkuatkuasa bermula Isnin lalu.

Kayveas turut melepaskan jawatannya sebagai pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Kayveas pernah dipetik media sebagai berkata bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum kali ini.

MyPPP menuntut BN memperuntukkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada parti itu tetapi pada pengumuman baru-baru ini, kerusi berkenaan diserahkan kepada MIC dan bakal diwakili oleh ketua Pemuda parti itu, C Sivarrajh.

Bagaimanapun, pada sidang media kemudian hari ini, Setiausaha Agung MyPPP Mohan Kandasamy berkata Kayveas dipecat.

"Berikutan mesyuarat lembaga disiplin malam tadi, keputusan adalah untuk memecat Kayveas sebagai presiden dan ahli MyPPP dengan segera.

"Kami tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan (Kayveas)," katanya.

Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat surat daripada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengarahkan mesyuarat lembaga disiplin diadakan berhubung kenyataan Kayveas mengenai peruntukan kerusi.

Sementara itu, Bernama yang memetik sumber, melaporkan langkah itu mungkin berikutan kegagalan parti untuk mendapatkan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

"Mungkin ada tekanan daripada anggota MyPPP berhubung kegagalan Kayveas mendapatkan kerusi Cameron Highlands walaupun parti itu bekerja keras sejak dua tahun lepas,” menurut sumber yang enggan dikenali itu kepada Bernama.

Ahad lalu, Kayveas berkata parti itu tidak merestui keputusan naib presiden Datuk Loga Balan Mohan untuk bertanding di kawasan parlimen Segambut atas tiket Barisan Nasional.

Lihat Komen
ADS