PRU14 | Mengujakan - barangkali ungkapan ini paling sesuai bagi menggambarkan suasana ketika pelancaran manifesto BN Sabah yang bertempat di Kompleks Sukan Kota Kinabalu semalam.

Ia boleh saja dianggap sebagai sebuah konsert mini, dengan persembahan daripada ramai artis tempatan berserta sorakan bersemangat dan pukulan drum yang bertenaga.

Selain laungan "Tatap BN" (tetap BN), lagu patriotik Perajurit Tanah Air (Inilah Barisan Kita) turut kedengaran berulang kali.

Ia dinyanyikan oleh kumpulan yang mungkin boleh digelar "ultras" BN Sabah, yang kebanyakannya daripada Putatan. Selain lagu itu, mereka menonjol dengan laungan sorakan yang lebih tersusun berbanding hadirin lain.

Berdasarkan pemerhatian, acara semalam lebih meriah dan bersemangat jika dibandingkan dengan pelancaran manifesto BN peringkat persekutuan, tiga minggu lalu.

Acara itu menarik kira-kira 10,000 peserta yang melibatkan jentera BN sahaja. Sementara pelancaran manifesto BN peringkat persekutuan dihadiri 15,000 peserta daripada Bahagian BN seluruh negara.

Dengan kemeriahan dan semangat itu, tidak hairan jika sejumlah penyokong BN yakin mereka akan dapat mengekalkan kemenangan pada PRU 2013, dan malah menambah lebih kerusi pada pilihan raya kali ini.

Keyakinan itu di sebalik kemunculan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang diketuai Datuk Seri Shafie Apdal, bekas presiden Umno dan menteri persekutuan.

"Saya rasa BN masih kuat seperti dulu," kata Siti Rohani Juni (gambar), 55 tahun.

"Berdasarkan ramainya yang datang malam ini, kami tidak risau," katanya yang merupakan seorang jentera BN Kota Kinabalu.

Katanya, penduduk negeri itu yakin dengan pentadbiran BN dan memberikan pelbagai bantuan kerajaan negeri sebagai contoh.

Ahmad Wahab, 64, juga percaya BN akan mengekalkan kemenangan dengan mudah memandangkan kerajaan negeri sebelum ini memberikan banyak projek untuk rakyat.

"Semua mendapat manfaat (daripada projek itu."

Tak bimbang dengan WARISAN

Ditanya tentang pengaruh Shafie, Ahmad mengakui beliau memang berpengaruh di pantai timur Sabah tetapi bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu belum dapat meyakinkan penduduk Tuaran.

"Bendera pun tak kelihatan. Mereka tidak aktif, sekurang-kurangnya di Tuaran," katanya. Tuaran adalah sebuah daerah terletak di utara Kota Kinabalu, di pantai barat negeri itu.

Rohani pula percaya rakyat "cukup bijak" untuk membuat penilaian tentang Shafie dan WARISAN.

"Beliau pernah berada dalam kerajaan. Kenapa tidak bela rakyat dari dulu, kenapa (baru) sekarang?"

Jentera dari Bahagian Api-Api, Mohamad Yusuf (gambar) juga menyuarakan sentimen sama dan yakin BN akan kekal menang pada PRU kali ini.

Namun beliau mengakui sejumlah pemimpin yang tidak dicalonkan mungkin akan menyebabkan sabotaj di peringkat dalaman.

"Faktor ada faktor dalaman, ia tidak menggugat peluang BN untuk menang," katanya.

Pada PRU lalu, BN menang 22 daripada 25 kerusi Parlimen dan 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).