Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lihat sumbangan untuk negara, bukan ungkit sejarah nenek'

PRU14 l Calon Pakatan Harapan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, hari ini menggesa semua pihak agar memfokuskan dirinya dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini dan bukan neneknya.

Kata Jamaliah sebagai pengundi orang ramai perlu tahu dia mempunyai pengalaman sebagai ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

"Saya rasa apa yang rakyat perlu tahu ialah siapa Jamaliah Jamaluddin dan rekod saya serta apa sumbangan saya kepada isu komuniti yang saya selesaikan selama ini.

"Dan kita juga perlu fokus apa yang saya boleh lakukan selepas ini untuk warga Selangor dan rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di Petaling Jaya.

Jamaliah berkata demikian sebagai mengulas surat terbuka anggota DAP Damansara, Hata Wahari, yang disiarkan Malaysiakini semalam.

Dalam surat terbuka itu, Hata - merupakan bekas wartawan Utusan Malaysia - mempersoalkan tindakan DAP yang menamakan Jamaliah sebagai calon mereka di Bandar Utama.

Kena beza dulu, kini

Kata Hata, tindakan DAP mengangkat cucu kepada Shamsiah Fakeh – seorang pejuang Parti Komunis Malaya (PKM) didakwa Hata sebagai mengangkat senjata membunuh dan memporak-perandakan orang Melayu – adalah tindakan melampau.

Kata Jamaliah orang ramai tidak wajar mengaitkan dirinya dengan Shamsiah.

"Jadi saya agak hairan dan pelik, kenapa perlu fokus latar belakang keluarga saya. Saya harap kita dapat fokus pada perkara yang betul-betul penting," katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua pula berkata beliau tidak mahu memanjangkan isu berkenaan kerana menganggap Jamaliah bukan seorang komunis, sebaliknya menyokong sistem demokrasi negara.

"Kalau kita nak ambil kira macam itu, kita tak boleh nak bekerjasama degan Jepun atau Britishlah, sebab mereka pernah datang menjajah Malaysia.

"Justeru kita kena bezakan apa yang berlaku sebelum ini.

"Aliah (Jamaliah) bukan komunis. Dia menyokong sistem demokrasi, menyokong hak rakyat. Takkan kita nak kaitkan dia dengan (perkara) dulu," kata Pua.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS