Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 keluarga Musa Aman pertahan kerusi, anak buat kemunculan pertama

PRU14 | BN Sabah menurunkan sekurang-kurangnya lima calon yang memiliki pertalian dengan Ketua Menteri sementara Datuk Seri Musa Aman pada pilihan raya umum ini.

Musa selaku pengerusi BN Sabah membuat pengumuman calon di Kota Kinabalu hari ini.

Musa sendiri akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibunga, manakala adiknya Menteri Luar sementara Datuk Seri Anifah Aman mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis.

Anak Musa yang juga pengerusi BN Sabah Yamani Hafez akan membuat penampilan pertama apabila dicalonkan di Parlimen Sipitang.

Menantu Musa pula, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif - suami kepada anak perempuan tunggalnya - akan mempertahankan kerusi DUN Membakut.

Besan Musa merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur sementara, Datuk Ghulam Haidar Khan mempertahankan DUN Kawang.

Seorang lagi calon yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Musa ialah penyandang kerusi dewan undangan negeri Gum-Gum, Zakaria Mohd Edris.

Untuk PRU ke-14 ini Zakaria dijadikan calon untuk kawasan parlimen Libaran. Zakaria dihubungkan dengan Musa melalui isteri ketua menteri sementara itu, Faridah Tussin.

Keluarga Pairin

'Politik keluarga' tidak asing di Negeri di Bawah Bayu itu , malah dalam keadaan tertentu, anggota keluarga bertembung sesama sendiri kerana memilih parti berbeza.

DUN Tambunan dijangka menyaksikan pertembungan tiga beradik yang menganggotai tiga parti politik berlainan.

Penyandang kerusi itu Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kemungkinan akan dicabar dua adiknya, iaitu Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan dan Crispin Kitingan yang menganggotai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Di pantai timur Sabah pula, Presiden WARISAN dan penyandang Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal akan melihat dua sepupunya mencabar calon partinya di dua DUN dalam Semporna, iaitu Senallang dan Bugaya.

Mereka adalah Datuk Nasir Sakaran yang akan mempertahankan Senallang, dan Datuk Razak Sakaran yang dicalonkan di Bugaya.

Sementara itu adik Shafie, Datuk Mohd Yusof, kekal di DUN Lahad Datu.

[Baca berita asal]
 

Lihat Komen
ADS