Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi esok akan memutuskan sama ada membenarkan semakan kehakiman oleh 16 anggota Umno yang 'dipecat' untuk membubarkan parti itu ekoran gagal melakukan pemilihan parti.

Datuk Wira Kamaludin Mohd Said hari ini mengarahkan peguam bagi Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk tidak membuat penghujahan dan meninggalkan mahkamah memandangkan kes itu adalah permohonan ex parte (untuk sepihak sahaja) terhadap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Hafarizam kemudian meninggalkan mahkamah, manakala Haniff dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili ROS, kekal untuk memberikan penghujahan mereka.

Haniff berhujah bahawa sebarang permohonan untuk membuang anggota kerana membawa isu parti ke mahkamah bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak berperlembagaan, dengan membangkitkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd dan Indira Gandhi sebagai contoh.

"Berdasarkan dua kes Mahkamah Persekutuan, mahkamah mempunyai bidang kuasa terhadap klausa penyingkiran seperti Seksyen 18C dan Artikel 20.7 Perlembagaan Umno," katanya.

Seksyen 18C akta itu menyatakan keputusan parti politik atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah atau peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah atau peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal-ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif.

Menurut seksyen itu lagi, ia tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.

Artikel 20.7 Perlembagaan Umno pula menyatakan mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan secara automatik hilang keahlian.

Haniff (gambar) berkata demikian susulan bantahan awal Shamsul berdasarkan Seksyen 18C dan jika bantahan dilolak maka permohonan diberikan dengan merit dan kes akan didengar.

Shamsul pula berkata bawah Seksyen 18C itu, mahkamah tiada kuasa untuk mendengar soal parti yang dibawa anggota parti di mahkamah dan seksyen itu bukanlah klausa penyingkiran.

Menghina mahkamah

Pada 20 April lalu, sekumpulan 16 anggota Umno diketuai Ketua Cawangan Seri Merpati Pandan Indah Salihudin Ahmad Khalid memfailkan semakan kehakiman untuk, antara lain, membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan Umno menangguhkan pemilihan parti sehingga April tahun depan.

Mereka juga mahu ROS menyiasat laporan mereka berhubung kegagalan parti membuat pemilihan dan menuntut Umno dibubarkan.

Ia selepas mereka - anggota daripada 11 cawangan dari enam negeri - menulis surat untuk bertanya menggapa pemlihan peringkat cawangan, bahagian dan majlis tertinggi (MT) belum dilaksanakan.

Sementara itu, Haniff juga memaklumkan pihaknya semalam telah memfailkan penghinaan mahkamah terhadap Setiausaha Agung umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar).

Ia selepas Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pemecatan mereka pada 21 April lalu, sebagai respons kepada tindakan mereka.

Haniff berkata mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk mendengar permohonan ex parte terhadap Tengku Adnan.

Beliau menganggap langkah Tengku Adnan sebagai usaha memintas permohonan 16 orang itu dengan membatalkan keahlian Umno mereka.

Katanya, langkah Tengku Adnan itu mempunyai kesan meluas dan bertentangan dengan prinsip sub judice (kes dalam proses mahkamah dan maka tidak boleh dibicarakan di luar).