Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar meminta masyarakat mengundi parti itu sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan.

Bercakap di hadapan kira-kira 300 penduduk di Flat Petaling Utama, Taman Medan, Noh memberitahu Kementerian Perumahan dan Kesejahteraan Bandar membelanjakan RM27 juta untuk membaik pulih pangsapuri di situ.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat di Taman Medan hanya perlu mengundi BN untuk mengucapkan terima kasih atas sumbangan kementeriannya.

"Kalau ada rasa terima kasih kepada kerajaan kerana dah luluskan RM27 juta untuk (pembangunan di) Taman Medan, 9 hari bulan (Mei), masuk bilik undi, ada tiga lambang.

"Jangan fikir banyak. Nampak logo dacing, pangkah. Itu tandanya tuan-tuan berterima kasih kepada kerajaan BN yang banyak tolong rakyat," katanya ketika berucap di Program Kesejahteraan Rakyat petang ini.

Turut hadir ialah calon BN DUN Taman Medan Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Selain itu, Noh yang merupakan penyandang parlimen Tanjong Karang menasihatkan kepada orang ramai supaya memberi peluang kepada BN.

Katanya, rakyat Selangor telah ditipu dua kali pilihan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

"Cukuplah kena tipu dua kali. Dua kali sudah undi pembangkang, apa dia bagi?

"Tak bagi apa-apa. Sebab itu BN jugalah walaupun kalah tapi kita tetap bekerja untuk rakyat, menjaga kebajikan rakyat. Sebab itu kita tolong rakyat," kata Noh lagi.

Sementara itu, pada program berkenaan turut dihadiri penduduk yang rata-ratanya daripada kaum India.

Rayuan Mutalif dalam Tamil

Atas sebab itu, ketika berucap Mutalif yang boleh berbahasa tamil menggunakan bahasa berkenaan untuk merayu kepada penduduk di kawasan itu supaya mengundi BN.

Antara yang disebut, beliau merayu masyarakat dapat menyerahkan kembali kerusi DUN Taman Medan kepada BN.

DUN Taman Medan sebelum ini disandang Haniza Talha (PKR) dengan mendapat undi majoriti 3,731 pada pilihan raya umum ke-13.

Sebelum persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Taman Medan terdiri daripada 60 peratus pengundi Melayu, 20 peratus Cina dan 18 peratus kaum India.

Pada pilihan raya umum ke-14, Mutalif akan berdepan dengan Syamsul Firdaus Mohamed Supri dari PKR serta Ariffin Mahayuddin dari PAS.

Lihat Komen
ADS