Paling Popular
Terkini

Berbeza dengan pihak lain, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin satu-satunya calon pilihan raya yang tidak perlu menabur janji untuk pengundi di kawasan ditandinginya.

Bercakap kepada masyarakat Cina dan India di sebuah hotel, Mahathir menyandarkan rekod-rekod lamanya membangunkan pulau pelancongan itu sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir 93, berkata ketika sebelum merdeka lagi beliau telah memberi khidmat kepada daerah itu ketika Langkawi hanya berpenduduk 16,000 orang.

“Saya dan Langkawi tak pernah renggang. Saya kenal Langkawi masa belum dibangunkan.

“Hari ini saya tak nak janji itu dan janji ini kerana janji sudah pun dibuat oleh rakan-rakan saya, tetapi saya yakin orang Langkawi tahu bahawa apa yang baik bagi Langkawi walau tidak dijanji.

“Saya akan mampu buat kalau saya menang dan jadi perdana menteri,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapannya ketika program minum perang wanita Pakatan Harapan di sebuah resort di Langkawi hari ini.

Dr Mahathir bakal berdepan dengan Datuk Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (PAS).

Mengenang khidmatnya kepada daerah itu, beliau berkata tidak berjanji untuk menjadikan Langkawi sebagai pusat bebas cukai, namun ia tetap dilakukan.

“Saya tak pernah kata bila saya jadi perdana menteri saya akan jadikan Pulau Langkawi ini pulau bebas cukai, siapa pernah dengar saya janji.

“Saya tak janji apa pun. Tapi bila ada kuasa untuk memperbaiki Langkawi dan beri banyak nikmat kepada penduduk di Langkawi dengan kuasa itu saya jadikan pulau bebas cukai.

“Orang Langkawi kenal apa yang saya lakukan di Langkawi, tak payahlah saya ulang macam masuk bakul angkat sendiri tetapi saya yakin pada 9 Mei penduduk Langkawi akan keluar mengundi beramai-ramai,” katanya.

Dr Mahathir, perdana menteri keempat, amat sinonim dengan pembangunan Pulau Mahsuri itu.

Antaranya, beliau mengisytiharkan Langkawi pulau bebas cukai pada 1987, dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi untuk memacu pertumbuhannya.

Dr Mahathir juga kerap berkunjung ke Langkawi dan secara peribadi mengikuti perkembangannya.

Lihat Komen
ADS