PULASAN | Apa punya turrr, kalau mengikut kata orang Pulau Pinang. Drama yang berlaku di sempena penamaan calon hari ini adalah bayangan kepada hangatnya - atau sejuknya - waktu yang berlalu untuk 11 hari akan datang.

Daripada pemanas suasana - dan menghangatkan hati sesetengah orang - satu demi satu adegan drama itu dipaparkan untuk tontonan orang ramai.

Bagi yang menggemarinya, mereka akan gembira. Sebaliknya untuk orang yang kurang berminat atau sudah bosan, drama yang dipentaskan hanya akan menambahkan tebalnya perasaan meluat masing-masing.

Disebabkan ada banyak drama yang berlaku dan penuh dengan intrig hari ini, adalah lebih mudah untuk kita memahami apa yang sedang dan bakal berlaku dengan menyenaraikan hal itu satu demi satu.

Bagaimanapun tidak semua drama berkenaan dapat disertakan. Kekangan ruang dan masa adalah satu daripada sebabnya.

Tiada bebas di Batu Pahat

Akhirnya hanya tiga calon disahkan bertanding di kawasan parlimen ini. Impian untuk melihat salah seorang tokoh besar Umno Johor menyertai perlumbaan pada 9 Mei tidak kesampaian.

Sebenarnya boleh saja Datuk Dr Puad Zarkashi menonjolkan dirinya sebagai calon bebas. Dan Johor pernah menyaksikan bagaimana seorang calon bebas menang dalam pilihan raya kecil (PRK).

Ia adalah pencapaian luar biasa. Sudahlah bebas, menang pula dalam PRK ketika seluruh jentera parti dan kerajaan dipusatkan ke tempat itu.

Berdasarkan keadaan semasa ketokohan Puad jauh lebih hebat berbanding Tan Sri Shahrir Samad yang membuat kejutan semasa PRK pada 1988 dulu.

Karisma Puad hanya mungkin diatasi oleh calon BN untuk kerusi Pontian.

Tiada cuti bersalin dua tahun

Hal ini mungkin sangat mengecewakan ramai orang, terutama wanita serta pencinta wanita.

Cuti bersalin dua tahun ini dijanjikan oleh pemimpin kanan PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang tetap mempertahankan DUN Panchornya.

Selain dua tahun bercuti - dengan dibayar gaji selama tiga bulan - Mohd Amar yang memang memiliki kewibawaan sebagai perdana menteri menawarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM2,500.

Dalam keadaan sekarang pun, tentu BN berdebar-debar dan berharap beliau tidak mengumumkan bantuan BR1M lebih banyak kerana itu akan memberi kesan kepada Putrajaya.

Bukankah sebelum ini Mohd Amar menjelaskan ada "kebetulan" yang cukup istimewa antara beliau dan nilai bantuan BR1M oleh kerajaan?

Tiada kelibat Shahrizat

Tan Sri Shahrizat Jalil adalah pemimpin wanita yang begitu bergaya, berani dan ranggi. Wanita Umno di bawah Shahrizat bagaikan singa garang yang tidak takut sesiapa.

Buktinya setakat ini belum ada mana-mana ketua wanita berani menyinsing lengan dan mengugut untuk menyelak kain bagi menyanggah pembangkang.

Bakat serta kelincahan itulah yang diperlukan oleh ramai orang. Malangnya tiada kerusi yang benar-benar sesuai ditemui untuk ditandingi beliau, sama ada di dalam bandar - seperti Lembah Pantai - atau kawasan jauh dari bandar seperti Sungai Besar atau Gemas.

Memang Shahrizat ada berjanji untuk berkeliling Malaysia membantu calon BN. Maka, bertuah benarlah mana-mana calon yang mendapat sentuhan magis beliau.

Gajah yang istimewa

Diva Azwan Ali tempatnya bukan di dewan undangan negerilah.

Sebagai personaliti yang bergaya serta berjaya, tempat beliau ialah di kerusi parlimen. Ada banyak kawasan yang berpotensi untuk menjadi tempat beliau mencurah bakti.

Misalnya Kuala Selangor yang menempatkan kawasan Bestari Jaya (dulu dikenali sebagai Batang Berjuntai), Pengerang di Johor atau Batu Gajah di Perak.

Jika mahu kerusi metropolitan, Bukit Bintang adalah pilihan yang tepat untuk seseorang yang bergelar bintang.

Azwan patut diusahakan supaya menang dan dapat menjadi anggota parlimen. Bayangkan bagaimana beliau akan mengajar semua ahli supaya benar-benar beretika dalam berbahas demi mengangkat martabat Dewan Rakyat.

Jabatan Insolvensi

Bahagian ini wajar dinaik taraf menjadi satu kementerian khusus. Lebih menarik jika ia dijadikan setaraf suruhanjaya supaya seseorang yang ingin menjadi calon boleh membuat semakan dengan tepat sebelum bertanding.

Banyak masa boleh dijimatkan dan ramai individu yang lebih cerdik boleh dibawa ke depan sebagai pemimpin berbanding sekarang.

Menyerah diri kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dengan rekod muflis mungkin satu petanda keberanian seseorang, namun ia juga adalah simptom penyakit jiwa.

Muafakat masyarakat - pemimpin

Tiada sesiapa yang waras mahu menyertai pilihan raya untuk kalah, apa lagi ditunjukkan jalan ke luar seawal di meja pengurus pilihan raya.

Pemimpin sesebuah parti yang cerdik akan membuat persediaan rapi dan menyemak latar belakang calon mereka sebelum memberikan watikah.

Diuji dengan halangan pihak tertentu itu adalah biasa. Sebab itu pilihan raya juga difahami sebagai sesi beradu kepintaran dan kelicikan. Memberi kepercayaan buta kepada anggota parti adalah suatu kesilapan, apa lagi menyerahkan keyakinan kepada pihak yang memang diragu keikhlasan mereka.

Justeru jika ada kekangan di mana-mana pelan pilihan sudah tersedia. Kata orang, semasa langkah pertama terhalang, pelan B secara automatik beroperasi bagi memastikan sesuatu muslihat dapat diatasi dengan kelicikan yang lain.

Reka bentuk baru kad pengenalan

Mungkin Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta jabatan kreatif mana-mana pusat pengajian tinggi boleh bekerjasama mencipta kad pengenalan yang lebih mesra pengguna serta lebih cekap.

Bukan kad pengenalan sekarang tidak mesra atau tidak cekap, cuma mereka perlu memerah otak mencari jalan supaya ia lebih mesra dan lebih cekap.

Misalnya dicipta bentuk yang boleh digantung menjadi anting-anting atau loket supaya masalah tertinggal kad pengenalan dapat diatasi.

Tercicir kad pengenalan semasa di depan pintu pusat penamaan calon bukan saja menyusahkan parti, malah boleh menyesakkan dada penyokong masing-masing. Ia juga banyak membuang masa yang tidak perlu.

Tahap kecergasan

Seseorang calon wajar dipastikan mempunyai stamina tinggi. Kita tidak mahu melihat ada calon yang datang ke pusat penamaan calon menaiki kenderaan mewah, dilengkapi penyaman udara serta kerusi empuk ketika penyokong berarak sambil bertakbir sejauh beberapa kilometer di bawah terik matahari.

Lebih sukar lagi apabila calon itu sebelumnya sudah memtertawakan calon lain yang menjadi musuh politiknya sebagai sudah terlalu pikun untuk menjadi wakil rakyat.

Pengajaran dari Sabah dan Sarawak

Suatu ketika dulu BN memperoleh kemenangan awal tanpa perlu bertanding waima sebelum SPR mencetak kertas undi. Dari Malaysia Timur BN memperoleh bekalan penguat semangat apabila ramai calon mereka menang tanpa bertanding.

Seperti kata bestari, hidup adalah putaran roda.

Hari ini sekurang-kurangnya ada sebuah kerusi sudah dimenangi tanpa bertanding. Beberapa kerusi lain pula memang akan ada persaingan, namun dipercayai ia tidaklah mencabar sangat.

Kata orang, mereka bertarung di atas padang yang sudah ditolak tanahnya supaya tidak rata.

Batu bukan semestinya keras

Kejantanan adalah subjektif. Dan pada ketika tertentu ia boleh layu dan terkulai hanya atas sebab yang kecil dan tidak disangka.

Ia kira-kira ibarat seorang pendekar yang kebal tetapi mempunyai rahsia kelemahan yang tersembunyi. Tidak boleh digeletek tapak kaki, misalnya. Atau kekebalan akan tawar jika memakan buah genuak.

Ada ahli politik yang begitu teguh ketika berdepan dengan gas pemedih mata, cota pasukan simpanan persekutuan (FRU) atau peluru getah, namun boleh terseliuh oleh libasan dahan senduduk.

Memang bolehlah dihujahkan dia menjadi mangsa konspirasi pihak musuh. Namun berdepan dengan penguasa yang memang suka menggunakan kuasanya, perancangan mesti teliti.

Seperti dinyatakan di atas, perlu ada pelan B, C, hingga Z kalau perlu. Memberi alasan itu dan ini biasanya kurang meyakinkan. Juga menyakitkan hati.

Kesimpulannya hari ini memang banyak drama terjadi. Ada yang dirancang tetapi kebanyakannya adalah spontan.

Ada pahlawan yang terpaksa berundur sebelum keris sempat ditarik dari sarungnya. Atau dalam bahasa kontemporasi, ia menepati bidalan "setelah layar dikembangkan, sauh dilabuhkan, pantang ketua dan anak-anak kapal menoleh ke belakang.”

Memanglah, mereka pantang menoleh ke belakang sebab paling afdal ialah menunjukkan kepala memandang lantai. Aib kot!


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.