Aziz janji tebus langkah salah Mukhriz
PRU14 | Kulim-Bandar Baharu terletak di selatan Kedah, bersempadan dengan Pulau Pinang dan Perak. Anggota parlimen penyandang Datuk Seri Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang mempertahankan kerusi itu menjamin para pengundi bahawa kerja-kerja menaik taraf jalan raya yang menghubungkan dua bandar itu masih berjalan.
"Bahawa lebuh raya menghubungkan Bandar Baharu ke Kulim yang kami janjikan pada pilihan raya lepas itu tidak dibuat. Itulah satu-satunya isu yang sering dibawa pihak yang mengkritik saya. Itulah satu-satunya isu (janji bina lebuh raya).
"Tetapi selain itu, saya fikir semua orang akur bahawa kami telah berbuat banyak perkara," katanya kepada Malaysiakini selepas pencalonannya sebagai calon Kulim-Bandar Baharu semalam.
Abdul Aziz menjelaskan penaiktarafan itu dijanjikan pada pilihan raya umum 2013, namun bajet yang diperuntukkan bagi projek itu telah disalurkan semula untuk projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Menteri besar Kedah pada waktu itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kini Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, telah mencadangkan projek itu pada 2015 bagi memasuki pasaran kargo dan logistik udara.
Dilaporkan ia disebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kulim telah mengembangkan kapasiti penumpang udara dengan mengambil kapasiti kargo.
Kulim dan Pulau Pinang dihubungkan dengan Lebuhraya Butterworth-Kulim, yang menyediakan akses jalan raya berkelajuan tinggi dari Kulim ke pelabuhan dan kilang-kilang di Seberang Perai, Jambatan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Kulim juga menempatkan beberapa zon perindustrian termasuk Kulim Hi-Tech Park.
"Tetapi sekarang nampaknya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim itu tidak akan berlaku. Kerajaan telah bersetuju untuk meletakkan keutamaan itu (menaik taraf jalan raya) dan sebahagian daripada manifesto (BN) Kedah sebenarnya akan menyelesaikan penaiktarafan jalan itu.
"Jadi itu satu isu yang perlu saya yakinkan para pengundi bahawa saya telah mencuba, saya tidak melakukannya, tetapi saya yakin bahawa ia akan berlaku tidak lama lagi.

"Selain itu, seperti yang saya katakan, kami telah berkhidmat kepada rakyat. Kami berharap semua kerja keras kami dapat ditukar kepada sokongan, "katanya.
Parlimen Kulim-Bandar Baharu dipegang BN namanya parti Perikatan lagi pada era selepas kemerdekaan sehinggalah pada 2008 apabila calon PKR, Zulkifli Nordin menang kerusi itu. Zulkifli kemudiannya menjadi anggota parlimen bebas.
Abdul Aziz juga merupakan adik lelaki kepada bekas menteri dan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu selama lima penggal Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang kini memimpin parti Ikatan, sekutu PAS dalam gabungan Gagasan Sejahtera.
Abdul Aziz bertanding dalam pilihan raya umum 2008 tetapi kalah kepada Zulkifli sebanyak 5,583 undi.
Beliau mencuba sekali lagi pada 2013 menentang Datuk Saifuddin Nasution Ismail daripada PKR dan menang tipis sebanyak 1,871 undi.
Kali ini, Abdul Aziz akan sekali lagi bertarung semula dengan Saifuddin, manakala PAS meletakkan pengerusi parti itu untuk Kulim-Bandar Baharu, Hasan Abdul Razak sebagai calonnya.
[Baca berita penuh]

