'Shamsul boleh pergi main layang-layang'
PRU14 | Ketua menteri sementara Melaka, Datuk Seri Idris Haron memberitahu calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa beliau boleh pergi 'main layang-layang' jika bercita-cita untuk mengambil alih jawatan yang disandangnya itu.
Shamsul merangkap Pengerusi PKR Melaka, memutuskan bertanding di kerusi DUN Rim pada minit terakhir pagi semalam, memetik hasrat partinya untuk menjadi salah seorang calon ketua menteri HARAPAN jika Melaka jatuh pada pilihan raya ini.
Bagaimanapun, Idris, penyandang DUN Sungai Udang tidak fikir Malaysia berkemungkinan akan jatuh.
"Saya tak nampak kemungkinan seperti yang disebut beliau itu akan berlaku tetapi saya tidak memandang sambil lewa akan hal itu.
"Saya dengar keluhan dan aduan pengundi di Bukit Katil mengatakan mereka menyesal mengundi Shamsul kerana prestasi beliau sebagai anggota parlimen tidak memuaskan.

"Jadi, saya fikir Shamsul boleh pergi main layang-layang," kata Idris kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam di Alor Gajah, Melaka malam tadi.
Idris berkata pengundi DUN Rim akan sangat malang sekiranya Naib Presiden PKR itu menjadi wakil rakyat mereka.
"Walaupun sebagai ahli parlimen, saya telah mendengar aduan bahawa dia tidak melakukan dengan baik.
"Akan sangat malang bagi pengundi RiM jika dia menjadi wakil Rim," katanya.
Shamsul ialah penyandang kerusi parlimen Bukit Katil yang dinamakan semula Hang Tuah Jaya.
Shamsul berdepan dengan calon BN Ghazale Muhamad di DUN Rim. Manakala di Parlimen Hang Tuah Jaya beliau bertanding melawan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam.

