Pengerusi SPR, pemimpin pemuda PKR tersenarai 'Hall of Shame' BERSIH
PRU14 | Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah disenaraikan dalam Hall of Shame (senarai terkutuk) badan pendesak pembaharuan sistem pilihan raya BERSIH.
Dalam senarai itu, Mohd Hashim diberikan 'anugerah 5 bintang' Electoral Disintegrity (tiada integriti pilihan raya) oleh BERSIH.
Penyenaraian Mohd Hashim itu, kata BERSIH, adalah kerana ratusan aduan berhubung masalah daftar pemilih, termasuk pengundi yang didaftar tanpa pengetahuan mereka, pengundi dikeluarkan dari daftar pemilih dan pengundi yang dipindahkan ke kawasan mengundi yang jauh.
"Mohd Hashim juga tersenarai kerana mengumumkan syarat tambahan sebelum hari penamaan calon termasuklah melarang gambar dan logo pada bahan kempen," kata BERSIH dalam kenyataan media hari ini.
Selain Mohd Hashim, Timbalan Ketua Pemuda PKR Afif Bahardin menjadi satu-satunya ahli politik Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam senarai berkenaan.
Menurut BESIH, calon HARAPAN Seberang Jaya itu menggunakan program kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menyerahkan hamper kepada pengundi di kawasannya.
Menteri besar sementara Kelantan Datuk Ahmad Yakob juga termasuk dalam senarai itu.
BERSIH mendakwa Ahmad Yakob berulang kali menggunakan jentera kerajaan negeri untuk mengadakan program PAS, termasuk memberi wang di dewan yang dipenuhi bendera PAS dengan logo kerajaan negeri Kelantan pada 16 April 2018 di the Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan.
Jelas BERSIH, nama-nama yang tersenarai dipilih dari 300 laporan yang disahkan sehingga 26 April.
Tujuh nama yang terdiri daripada wakil BN. Berikut merupakan senarai nama itu mengikut kesalahan yang didakwa BERSIH:
P Kamalanathan (MIC) - Kerana beberapa kali memberi makanan, barang dapur dan petrol kepada pengundi.
Abu Bakar Sidekh (Umno) - Kerana beberapa kali memberi beras, hamper, serta perabot kepada pengundi ketika berkempen.
Musa Aman (Umno) - Kerana memberi 155 buah motosikal kepada usahawan kecil di Sandakan.
Shahanim Mohd Yusuf (Umno) - Kerana memberi wang kepada pengundi di program BN di Taman Keladi pada 23 April 2018 dan kemudian mendakwa ia peruntukannya sebagai senator apabila parlimen dibubarkan pada 7 April lalu.
Noh Omar (Umno) - Kerana menggunakan Jabatan Kemajuan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengadakan kempen di Gombak. Beliau didakwa memberi sumbangan kepada penerima zakat (19 April), ang pow kepada penduduk tempatan (25 April) dan menggunakan Program Tranformasi Sosial DUN Gombak Setia untuk berkempen (19 April).
Jaspal Singh (MIC) - Kerana beberapa kali merasuah dan memberi makanan keperluan, wang kepada pengundi di Bukit Selambau, Kedah melalui kunjungan rumah ke rumah.
Hamzah Zainudin (Umno) - Kerana berulang kali memberi rasuah kepada pengundi di Larut, termasuk petrol percuma, dan memberi RM50,000 kepada 250 penerima zakat dan RM3,000 kepada 200 pengunjung Bizfair.
BERSIH sebelum ini melancarkan ‘Hall Of Shame PRU 14’ berkaitan kesalahan-kesalahan pilihan raya untuk menamakan mana-mana calon, parti, secara rasmi mahupun secara individu yang bersalah atas apa-apa tindakan yang bertentangan dengan pilihan raya yang bersih dan adil.
Kesalahan pilihan raya dalam ‘Hall Of Shame’ akan dikumpul berdasarkan maklumat daripada aduan-aduan sah yang telah dihantar kepada BERSIH oleh orang awam atau sukarelawan serta koordinator PEMANTAU.
Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan nilai wang yang terlibat, kekerapan kesalahan, skala ketersampaian kepada orang awam dan kesan kepada integriti pilihan raya yang akan datang.
Senarai itu akan diumumkan setiap Jumaat sehingga hari mengundi pada 9 Mei.
BERSIH juga menggesa orang ramai yang mendapati atau menyaksikan kesalahan pilihan raya membuat aduan atas talian di aduan.pemantau.org atau melalui WhatsApp di nombor 011-17721546 atau terus menghubungi talian 03-79314444.

