Leiking tak tanding DUN untuk beri ruang pada HARAPAN
PRU14 | Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Darrel Leiking berkata keputusan untuk tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah untuk memberi ruang kepada PKR dan DAP.
Darrel juga menjelaskan ia adalah keputusannya sendiri.
"Bukannya parti tidak mahu mencalonkan saya di kerusi DUN, tapi kita harus berkorban banyak kerusi untuk rakan kita di PKR dan DAP.
"Salah satu kerusi yang saya seharusnya bertanding, kerusi Darau tidak diluluskan di parlimen.
"Kerusi lain pula terlalu jauh dan akan menjejaskan rundingan dengan parti rakan pilihan raya kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas program WARISAN di Penampang, Sabah.
Darrel turut menambah dia tidak selesa dengan kerusi ganti yang dicadangkan kepadanya.
Bagaimanapun, kata Darrel lagi, Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal tetap menawarkan kerusi DUN yang lain kepadanya.
"Shafie sentiasa rasa saya harus bertanding kerusi DUN, beliau malah tawarkan kerusi lain sebelum penamaan calon. Tapi saya tetap dengan keputusan saya," katanya.
Terdahulu, ketika berucap dalam program itu, Darrel berkata dia gembira kerana tiada calon partinya yang dibatalkan pencalonan semalam.
"Tak ada sesiapa yang lupa bawa IC (kad pengenalan) atau terlupa pembawa surat watikah," katanya berjenaka yang disambut ketawa hadirin.
Semalam, calon PKR Wangsa Maju Tan Yee Kew hampir terlpeas penamaan calon selepas terlupa membawa kad pengenalan.
Meskipun WARISAN tidak secara rasmi menyertai HARAPAN, parti itu bekerjasama dengan parti komponen HARAPAN bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) 9 Mei ini.

