Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Daripada Kami Sekeluarga.

Insya-Allah, bonda kami Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak akan turut berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dan Parlimen Pengkalan Chepa bagi memenangkan calon PAS, ustaz Ahmad Fathan Mahmood dan ustaz Ahmad Marzuk Shaari.

Bonda asalnya akan hanya menumpukan kempennya di Parlimen Bachok atas faktor kesihatannya yang sedikit membataskan pergerakan, selain mengukuhkan lagi pengenalannya bersama jentera PAS dan rakyat di Bachok.

Tetapi disebabkan ada sedikit gangguan dari dalam keluarga kami terhadap PAS di DUN Chempaka khususnya, maka bonda memutuskan untuk turut bersama jentera muslimat PAS di sana.

Saya bagi pihak seluruh keluarga al-Aziziyah dengan penuh rasa duka cita yang amat sangat ingin memohon banyak-banyak kemaafan kepada jentera PAS di seluruh negara dan juga seluruh rakyat Malaysia amnya, di atas kemalangan yang berlaku dua hari lepas.

Ia sesuatu yang amat sukar.

Bonda (gambar) kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat tembakan yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lepas oleh seorang lelaki bernama Ikram. Dua hari lepas, tembakan itu tepat singgah ke jantung bonda.

Ini adalah tembakan kedua yang terpaksa ditanggung bonda selepas tembakan pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih 15 tahun lepas apabila salah seorang anaknya di-ISA-kan.

Tun Mahathir dan Ikram itu hari ini bersama-sama bersatu bekerja keras meruntuhkan kerajaan Islam Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

Oleh kerana kekanda saya ustaz Nik Omar bin Nik Abdul Aziz (gambar) belum balik ke rumah bonda, suka saya menasihati dan menyarankan beliau untuk merujuk kepada kisah agung seorang khalifah Islam yang sah dibai'ah oleh umat Islam selepas kematian Yazid bin Muawiyah, iaitu Abdullah Ibn al-Zubayr.

Hayati bait-bait penuh air mata antara beliau dan bondanya Asma' binti Abu Bakar (kakak kepada Ummul Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar) saat beliau memohon pandangan dan restu bondanya itu bagi menempuh kemuncak kesukaran di dalam membuat keputusan di sepanjang hidupnya.

Ia sama ada menyerah diri kepada panglima perang Bani Umayyah yang telah berbulan-bulan mengepung Kaabah dan kota Mekah atau terus memerangi bala tentera kejam itu sehinggalah rebah syahid.

Itulah fiqh al-sahabiy al-jalil dalam memahami 'peranan seorang ibu di dalam politik dan jihad.'

Ibu adalah menara kehidupan. Jangan bicara pasal ayahanda jika bonda tiada disisi. Siapa ayahanda tanpa seorang bonda yang paling memahami pahit getir kehidupan seorang suami bergelar pejuang.

Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina.


NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ ialah anggota Jawatankuasa Pusat PAS dan calon kerusi parlimen Bachok.

Rencana ini dimuatkan di Facebook beliau dan merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS