Polis NS buka empat kertas siasatan PRU14
Polis Negeri Sembilan telah membuka empat kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sejak hari penamaan calon hingga hari ini.
Pegawai Perhubungan Media PRU14 Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan DSP Mazrin Mahmud berkata tiga daripadanya dibuka di Seremban dan satu di Jempol.
"Bagi Seremban dua kertas siasatan dibuka terhadap kes menggunakan media sosial untuk mengeluarkan kenyataan berhubung fitnah dan mendatangkan kegusaran terhadap rakyat serta individu.
"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).
Beliau berkata satu lagi kertas siasatan yang dibuka di daerah sama ialah berhubung kes menerbangkan dron di pusat penamaan calon tanpa lesen sah daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang disiasat menerusi Seksyen 447 KK atau Seksyen 143(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Malaysia.
"Pihak polis mengambil tindakan dengan merampas dron tersebut kerana perbuatan itu dianggap menceroboh kawasan larangan iaitu pusat penamaan calon dan pihak CAAM memaklumkan bahawa mereka tidak mengeluarkan sebarang lesen penerbangan alat tersebut sepanjang PRU14.
"Polis menasihatkan mana-mana pihak supaya meminta kebenaran mendapatkan lesen untuk terbang daripada CAAM terlebih dahulu kerana kami tidak menghalang mana-mana penyokong meminta kebenaran tetapi setakat yang dimaklumkan lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” katanya.
Mazrin berkata kertas siasatan terakhir pula melibatkan kejadian yang berlaku di Jempol apabila terdapat kes khianat terhadap Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang disiasat mengikut Seksyen 427 KK, namun tiada tangkapan dibuat.
Beliau berkata semasa hari penamaan calon, proses berjalan dengan baik, aman dan terkawal yang mana polis telah mengerahkan seramai 1,406 pegawai di kesemua lapan pusat dan dibantu 72 anggota daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
"Saya turut mengambil kesempatan ini meminta semua calon dan penyokong mana-mana parti politik supaya mematuhi undang-undang semasa melaksanakan aktiviti-aktiviti politik di kawasan masing-masing.
"Untuk pengetahuan orang ramai, setakat ini, sebanyak 51 ceramah serta 36 kempen sudah berlangsung bagi semua parti politik dan pihak kami menerima lagi 30 permohonan baharu untuk menjalankan ceramah dan kempen," katanya.
-- BERNAMA

