HARAPAN akui kekuatan BN, PAS di Terengganu
PRU14 | Pakatan Harapan (HARAPAN) sedia maklum kekuatan sokongan dan jentera PAS mahu pun BN di Terengganu serta mengakui agak sukar menandingi kedua-dua parti itu pada pilihan raya umum (PRU) ke 14, Mei ini.
Timbalan Presiden HARAPAN, Mohamad Sabu berkata kedudukan PAS dan BN di Terengganu dianggap sebagai satu cabaran utama bagi gabungan parti pembangkang itu.
Bagaimanapun, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata harapan untuk pakatan itu masih ada.
"Masih sukar dan kena bekerja lebih kuat sebab ombak di Terengganu ini agak lambat berbanding dengan negeri-negeri lain. Harapan ada tapi kena bekerja lebih kuat.
"Sambutan (di Dungun, Terengganu) kita nampak memberangsangkan untuk memberi semangat untuk kita terus bekerja kalau dibanding dengan negeri-negeri lain," katanya kepada pemberita di Padang Astaka, Dungun, Terengganu, malam tadi.
Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata demikian mengulas harapan gabungan pakatan itu di Terengganu selepas menyaksikan kehadiran ribuan penduduk setempat pada siri Jelajah Pakatan Harapan Terengganu.
Terdahulu Mat Sabu hadir ke program itu bersama Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri tercinta Tun Dr Siti Hasmah selain barisan kepimpinan negeri dan calon HARAPAN Terengganu.
Doktrin terlalu lama
Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata cabaran besar HARAPAN di Terengganu dilihat melalui doktrin yang telah ditanam sejak sekian lama ke dalam pemikiran rakyat di negeri itu bahawa sekiranya HARAPAN menang Cina dan DAP akan menguasai negara.
"Sebab di sini majoritinya Melayu, jadi orang Melayu ini masih lagi takut dengan HARAPAN.
"Doktrin yang ditanam jika pakatan menang Cina dan DAP akan menguasai negara. Fikiran itu ada pada masyarakat di Terengganu sebab didoktrin terlalu lama.
"Jadi nak ubah itu bukan satu perkara yang senang," katanya.

PRU13 lalu, BN pertahan mandat memimpin Terengganu melalui kemenangan tipis 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus gagal mengekalkan majoriti dua pertiga.
PRU14 bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan HARAPAN yang diwakili oleh PKR, AMANAH, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di kesemua kerusi parlimen dan DUN negeri itu.
Sementara itu, Mohamad berkata gerak kerja HARAPAN di Terengganu perlu menggunakan teknologi sebaik mungkin dalam memikat pengundi di negeri itu.
"Sekarang ini kita gunakan macam-macam cara, kalau tidak macam mana orang nak tahu malam ini.
"Tentulah dengan cara moden dengan menggunakan teknologi.
"Macam ini punya kehadiran bukan ada poster menyeluruh pun dan sudah tentu dengan teknologi baru ini (pasti lebih ramai).
"Jadi, kita akui Terengganu ini mencabar. Kita mendaki dengan cukup berat, kita akui PAS dan Umno cukup kuat di sini.
"Jadi kita nak tandingi antara dua itu bukan senang, tapi harapan tetap harapan," tambahnya.

