Dr M: Najib gadai royalti minyak T'ganu
PRU14 | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak menjadikan Terengganu yang terkenal dengan hasil minyaknya sebagai lubuk kekayaan beliau.
Menurut Dr Mahathir, bagi menikmati duit royalti minyak Terengganu, Najib telah mencadang penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) sekitar tahun 2008.
"Najib sebagai perdana menteri tak ada banyak duit, saya tahulah dulu saya pun perdana menteri juga. Nak sogok tak cukup, bagi RM10, RM20 bolehlah, tapi Najib nak bagi berbilion, dia tak ada duit, kena cari duit.
"Apa yang dia nampak, dia nampak negeri Terengganu. Terengganu ini mempunyai minyak dan berpotensi mengeluarkan minyak. Dia mempunyai satu badan yang dinamakan Terengganu Invesment Autority (TIA)," katanya.
Menurut Dr Mahathir, Najib menggadaikan hasil pengeluaran minyak Terengganu melalui TIA selama lima tahun.
Tambah Dr Mahathir, perkara itu bagaimanapun tidak dipersetujui Sultan sehinggakan memaksa Najib menubuhkan sebuah syarikat bagi menguruskan hasil kekayaan negara seperti yang berlaku di Kuwait.
"Ya, memang di Kuwait mereka mengeluarkan banyak minyak sehingga tidak habis duit dibelanjakan negara dan duit lebihan itu dimasukkan ke dalam syarikat kekayaan negara.
"Bukan duit pinjaman tetapi duit lebihan daripada pendapatan negara, hasil jualan petroleum yang dihasilkan Kuwait.

"Tetapi kita di Malaysia ini bukanlah pengeluar minyak yang besar, segala wang yang kita ada terpaksa kita agihkan di semua negeri di tanah air kita.
"Oleh itu tidak ada lebihan duit untuk disimpan dalam syarikat kekayaan negara, tetapi bagi Najib ini tidak jadi masalah.
"Tubuh saja syarikat 1MDB, tetapi syarikat ini tidak punyai wang, Najib rancak nak pinjam wang dan laburkan RM1 juta duit kerajaan," katanya pada program HARAPAN di Padang Astaka, Dungun, Terengganu bagi siri jelajah HARAPAN di negeri itu.
Pada Disember 2008 kerajaan meluluskan penubuhan TIA, sebuah dana kekayaan asing yang menguruskan pembayaran royalti minyak ke Terengganu.
Penubuhan TIA diusulkan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai satu usaha untuk menyalurkan royalti minyak ke dalam dana kekayaan asing yang akan dikendalikan oleh sekumpulan profesional dan akan diselia oleh pelabur asing.
Najib ketika mengumumkan penjenamaan TIA sebagai 1MDB pada Januari 2009 berkata, ia adalah agar manfaat dapat diluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia dan tidak tertumpu kepada satu negeri sahaja.
Bendera atau manusia
Sementara itu, Dr Mahathir yang berucap di hadapan kira-kira 5,000 hadirin menyatakan rasa kagumnya dengan kehadiran begitu banyak bendera PAS melebih bendera BN.
Kata pengerusi BERSATU itu, kehadiran begitu banyak bendera PAS dan BN itu juga telah menyukarkan beliau untuk melihat jalan raya yang dilaluinya.
"Saya amat kagum bila sampai ke Terengganu, saya nampak bendera PAS lebih banyak daripada bendera dacing (BN) sampai tak nampak jalan, nampak bendera saja.
"Tetapi tuan, puan malam ini pula (di Padang Astaka, Dungun) saya nampak orang Terengganu, orang Dungun, begitu ramai sekali, beribu-ribu.
"Jadi saya nak tanya, mana yang lebih utama, bendera atau manusia?" soal Mahathir disambut sorakan hadirin.
Namun, katanya calon HARAPAN parlimen Langkawi itu, sokongan pengundi bukan ditafsir melalui bendera sebaliknya ia dilihat melalui ribuan yang hadir dalam setiap penganjuran program kempen PRU.
"Bendera siapa pun boleh buat, dapat duit derma banyak-banyak daripada si polan, si polan belilah kain buat bendera, gantung. Tapi belum tentu undi sebanyak bendera
"Kalau malam ini yang kita lihat yang hadir ini beribu-ribu mungkin lebih daripada sepuluh ribu, undi orang ini memang berharga dan daripada laungan 'Pakatan Harapan' tadi bermakna bahawa kebanyakkan yang hadir malam ini akan undi Pakatan Harapan," katanya.
Tambah Dr Mahathir lagi, beliau mengakui pakatan itu paling kurang memasang bendera parti mereka kerana kekurangan sumber kewangan.
"Kita tak lihat (banyak) bendera HARAPAN di Terengganu dan negeri lain, kami tak banyak duit kerana ramai orang yang nak derma, yang mendokong HARAPAN tetapi mereka takut kalau mereka bagi wang kepada HARAPAN esok LHDN akan minta cukai lebih daripada yang dikenakan," katanya.

