Jamal janji nelayan Sekinchan RM2,000 jika BN menang
Ketua BN Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menjanjikan setiap nelayan di Sekinchan wang tunai RM2,000 jika gabungan itu menang di kerusi DUN kawasan itu pada pilihan raya umum ke-14, 9 Mei ini.
Berucap kepada kira-kira 800 orang nelayan malam semalam, Jamal yang juga adalah ketua Gerakan Baju Merah meminta mereka supaya tidak lagi menyokong calon DAP, Ng Suee Lim yang bertanding untuk penggal keempat.
“Bagi menang calon BN daripada MCA, BN di DUN Sekinchan. Beliau menang sahaja, tuan-tuan dan puan-puan boleh tuntut dengan saya RM2,000 selepas ini.
“Ini sudahlah kerajaan bagi duit, sudahlah kerajaan bantu, undi pun tak mahu . Setiap lima tahun, bagi undi kepada Suee Llim, apa yang dia bantu tuan-tuan dan puan-puan?
"(Apabila) rakan tuan-tuan dan puan-puan kena tangkap oleh penguatkuasa Indonesia, siapa yang tolong, saya yang tolong, (penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar) YB Budiman (Mohd Zohdi) yang tolong.
“Tak ada pun yang dari DAP, Suee Lim (yang tampil membantu),” katanya.
Bulan lalu, Budiman mendakwa dirunya banyak terlibat dalam mendapatkan pembebasan awal bagi nelayan Chia Kee Chan dari penjara Indonesia.
Dia juga berkata pembebasan awal Chia juga berkaitan dengan hubungan akrab Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Presiden Jokowi Widodo.
Pada majlis malam semalam, yang antara lain bertujuan menyampaikan sumbangan kepada nelayan di markas BN di Pasir Panjang, Jamal turut berjanji bahawa bantuan berkenaan akan berterusan.
“Bagilah muka sikit bagi kita (BN). Sudahlah kita bantu apa yang tuan-tuan dan puan-puan perlukan.
“Undi pun tak, terima kasih pun tak. Tapi kali ini saya percaya tuan-tuan akan memberi undi kepada calon BN dua orang ini.
“Yang belakang tak tepuk tangan tu confirm DAP,” katanya.
Pendatang baru Lee Yee Yuan dari MCA dan Mohd Imran Tamrin dari Umno adalah calon BN bagi kerusi DUN Sekinchan dan DUN Sungai Panjang manakala Budiman mempertahakan kerusinya untuk penggal kedua di Sungai Besar.
“Cukuplah tuan-tuan dan puan-puan, janganlah bagi Ng Suee Lim (undi), ada masalah nelayan, saya yang bantu, YB Budiman, kerajaan BN.
“Kali ini kami minta tolong, bagi undi kepada saudara undi kepada semua tiga wakil kita ini.
“Menang saudara Yuan di DUN sekinchan, RM2,000 tuan-tuan datang, saya buat majlis kepada semua, sebab ada penaja untuk saya, untuk bantu tuan-tuan dan puan-puan.
“Hari ini menang, hari esok kita buat majlis di sini. Kita bagi kepada nelayan supaya membantu nelayan, boleh?” soalnya sambil disambut dengan sorakan “boleh” oleh para hadirin.
Usaha Ng menukar Sekinchan daripada sebuah perkampungan nelayan majoriti Cina menjadi destinasi pelancong popular mendapat pujian pelbagai pihak.
Pada pilihan raya 2008, beliau mengalahkan Puah Boon Choon dari MCA dengan undi majoriti hanya sebanyak 190, tetapi menambah margin itu kepada 2,239 ketika menundukkan Kek Seng Hooi pada PRU13.
Pada PRU14 ini, Ng akan berdepan dengan Lee dan calon PAS Mohd Fadzin Taslimin dalam pertarungan tiga penjuru.

