Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRU14 | Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan logo PKR ibarat lebam pada mata suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menurutnya adalah simbol dalam melawan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Kata Presiden PKR itu, rakyat harus memberikan undi kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai tanda melawan kezaliman yang berlaku terhadap Anwar.

“Undilah Pakatan Harapan (HARAPAN) yang nampak macam biji mata ni. Anwar Ibrahim, lambang mata ni memang dia kena tumbuk,” kata Wan Azizah disambut tepukan hadirin dalam ceramah HARAPAN di Pengkalan Kundur, Kuala Kedah malam tadi.

Keempat-empat parti komponen HARAPAN akan menggunakan logo PKR pada PRU14 pada 9 Mei ini setelah pakatan pembangkang itu gagal didaftar Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menceritakan kembali detik suaminya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998, Presiden PKR berkata ketika itu polis menyerbu rumahnya untuk menahan Anwar.

Wan Azizah yang mesra di sapa Kak Wan berkata, beliau ke Balai Polis Bukit Aman dengan berkaki ayam dan meminta anggota polis tidak mengapa-apakan suaminya.

Bagaimanapun, kata Wan Azizah, beliau mendapat tahu Anwar telah dibelasah.

“Memang ini cerita lama, memang nak cerita buat iktibar. Nak habaq kata memang Anwar Ibrahim dipukul setengah mati,” katanya dalam loghat utara.

Calon timbalan perdana menteri HARAPAN itu turut berterima kasih kepada anggota polis bawahan yang berbesar hati mengelap darah Anwar.

“Dia (Anwar) kata tak apa memang ketua polis negara pukul dia setengah mati tapi polis bawahan ni yang datang tolong lap dia, kita berbesar hati manusiawi dalam polis-polis bawahan, ada hati perut datang lap darah-darah dia. inilah lambang yang kita nak,” katanya.

Justeru, Wan Azizah menyeru semua pihak melawan kezaliman dengan memberikan undi kepada HARAPAN.

“Bahawa kita nak lawan kezaliman, pangkah keadilan 9 Mei akan datang. Jangan lupa. Ini bukan mainan, masa depan kita bersama nak berubah, bukan senang,” katanya.

Ceramah malam tadi dihadiri lebih 400 orang pengunjung pelbagai peringkat umur dan bangsa yang rata-ratanya bersorak apabila menyambut ketibaan Wan Aziah.

Selain itu, ceramah itu mengalami dua kali gangguan bekalan elektrik namun berjaya diatasi kurang dari 10 minit.

Turut kelihatan lapan pegawaia Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memantau ceramah berkenaan.

Lihat Komen
ADS