PRU14 | PKR Kelantan mengarahkan ahlinya supaya membuang undi rosak atau berkecuali di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kuala Balah dan Tawang pada 9 Mei ini.

Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, ia susulan penolakan pencalonan Dr Mohd Hafidz Rizal Amran sebelum ini dan langkah bagi mengelak ahlinya memberi undi kepada pihak lawan.

"Kita masih ada wakil di peringkat parlimen Jeli dan parlimen Bachok. Jadi kita arahkan penyokong kita menyokong calon kita di kerusi parlimen.

"Bagi kerusi DUN (kita tidak bertanding) kita kena berkecuali, undi rosak terpaksa buat begitu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Sabtu lalu SPR menolak pencalonan Mohd Hafidz  bagi kerusi Kuala Balah kerana didapati muflis.

Sementara itu, calon HARAPAN bagi DUN Tawang Mohd Azihan Che Seman hilang kelayakan dengan alasan bahawa alamat di kad pengenalannya tidak tertera di Kelantan.

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini akan menyaksikan PKR Kelantan bertanding di dua kerusi parlimen dan tujuh DUN.