Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 | Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin memeriahkan lagi suasana kempen menjelang PRU ke-14 apabila muncul memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini.

Menyertai ceramah HARAPAN di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pendang Daim mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan kesilapan mengundi BN.

Sebaliknya kata Daim, mereka mesti mengundi 'mata' - merujuk kepada simbol PKR yang disepakati oleh HARAPAN menjadi logo bersama mereka sempena PRU kali ini.

"Pangkah mata, jangan pangkah dacing (BN) sebab dacing tu tipu. Kemudian pada 10 hari bulan nanti, kita akan ada sebuah kerajaan baru," katanya di depan hampir 100 orang yang berada di program berkenaan.

Pendang ialah sebuah kerusi yang dianggap berpotensi untuk dimenangi HARAPAN walaupun sejarah menunjukkan pemenang di kerusi parlimen itu bertukar-tukar di antara BN dan PAS.

Suatu ketika ia pernah diduduki Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebelum beliau meninggal dunia.

Pada PRU ke-13 Pendang dikuasai BN melalui Datuk Othman Abdul. Pada 9 Mei ini Othman berdepan cabaran tiga calon lain iaitu Wan Saiful Wan Jan (HARAPAN), Awang Hashim (PAS) dan Abdul Malik Manaf (bebas).

Di peringkat DUN pula, HARAPAN diwakili Mohd Firdaus Jaafar (Tokai) serta Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Untuk rekod Daim ialah antara tokoh yang rapat dengan Dr Mahathir dan menduduki jawatan menteri kewangan hasil lantikan pengerusi HARAPAN itu.

Kedua-dua mereka juga berasal dari Kedah.

Sekarang barang naik

Kata Daim ekonomi negara di bawah Dr Mahathir juga berkembang dengan baik berbanding apa yang berlaku semasa zaman Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga secara bersahaja memberikan 'makna baru' buat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijanjikan HARAPAN bakal hapus jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

"GST ni sebenarnya (singkatan) government sudah tipu.

"Ahmad Maslan (bekas timbalan menteri kewangan) pernah kata harga barang akan turun kalau GST dilaksanakan. Ada turun (harga) tak?

"Tunjuk satu barang yang turun. Yang turun ialah harga getah, yang turun pendapatan rakyat," katanya.

Justeru kata Daim, 80, pada PRU lapan hari lagi pengundi tidak boleh membuat kesilapan kerana ia akan membawa masalah kepada generasi akan datang.

Beliau juga banyak berjenaka dan orang ramai jelas terhibur dengan apa yang disampaikannya.

Antaranya Daim mengaitkan pilihan raya ini dengan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Sekarang orang kata BN ni ialah barang naik.

"Sekarang ni orang kata kalau undi BN, maksudnya undi siapa? Undi bini Najib," katanya.

Lihat Komen
ADS