PRU14 | Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak berkata kadar GST akan kekal enam peratus selepas pilihan raya umum ke14.

Menurut laporan Bernama hari ini, beliau mendakwa pembangkang melemparkan fitnah bahawa BN akan menaikkan kadar GST kepada sembilan peratus jika menang pilihan raya ini.

"Mereka sebenarnya janjikan pengembalian SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) 10 + 6%. Pada 9 Mei kalau undi Harapan, 10 Mei mereka laksanakan. Tanyalah mereka,” katanya seperti dipetik.

Beliau yang juga pengerusi BN kemudian menggesa orang ramai agar tidak percaya dengan khabar angin tentang kenaikan GST itu.

Tidak pasti pembangkang yang dirujuk Najib yang dengan jelas mendakwa BN akan menaikkan kadar GST sehingga sembilan peratus.

Tetapi dalam bahan kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) di Melaka semalam, dipaparkan senarai harga barang keperluan jika GST dinaikan pada kadar itu.

Dalam manifestonya, HARAPAN berkata akan menghapuskan GST dan mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang digunakapai sebelumnya.

PAS juga menyertakan pemansuhan GST dalam manifestonya dan mencadangkan sistem cukai seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia sebagai alternatif.