Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bukan gua caya sama lu, ini gua nak guna lu'

PRU14 | Permuafakatan kukuh antara semua komponen parti Barisan Nasional (BN) menjadi asas untuk kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini, kata Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, BN merupakan sebuah entiti yang mempunyai struktur tersusun serta berdisiplin, dan permuafakatan yang wujud menunjukkan anggotanya mementingkan parti melebihi perkara lain termasuk berbesar hati menerima calon yang terpilih untuk bertanding.

"Tak kira MCA jadi calon, itu adalah BN. Tak kira Umno jadi calon, itu juga BN. Tak kira MIC jadi calon, itu juga BN.

Kalau ada permuafakatan macam ini, 9 Mei nanti Putrajaya akan terus jadi milik kita," kata Pengerusi BN itu pada majlis ramah mesra bersama penduduk Parlimen Wangsa Maju di Kuala Lumpur malam ini.

Antara yang hadir pada majlis itu calon BN bagi kerusi Parlimen Wangsa Maju Datuk Seri Yew Teong Look, Ketua Bahagian Umno Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah serta ribuan penduduk dan pengundi di kawasan itu.


Najib dalam pada itu berkata beliau berpuas hati dengan jentera BN Wangsa Maju yang begitu teguh semangatnya kali ini.

Beliau turut memberi penghargaan kepada Shafei kerana meletakkan ketaatan dan kesetiaannya kepada parti.

Parlimen Wangsa Maju, sebuah kerusi kawasan bandar mempunyai 88,482 pengundi yang mana 60 peratus daripada mereka adalah Melayu, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Yew, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PKR) dan Razali Tumirin (PAS).

Dalam pada itu, Najib berkata keberkesanan BN juga ternyata apabila tiada seorangpun daripada calonnya ditolak pencalonan mereka pada proses penamaan calon 28 April lepas, berbeza dengan pihak lawan yang menyaksikan beberapa calon mereka gagal dicalonkan.

"Ada calon yang lupa bawa IC (kad pengenalan) hampir-hampir tak layak tanding. Banyak calon pembangkang kena disqualified (dibatalkan). Isi borang pun tak reti," katanya.

"Tubuh parti bunga, pendaftaran dibatalkan kerana tak ada mesyuarat cawangan dan bahagian. Alih-alih ada mesyuarat tahunan," katanya secara sinis.

Dalam pada itu, Najib menegaskan pembangkang tidak mampu menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil kerana saling tidak percaya antara satu sama lain.

Beliau seterusnya berkata Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad diperkuda oleh pembangkang untuk memecah belah undi Melayu.

Kudakan Dr M, pecah undi Melayu

"Mereka memperkudakan Dr Mahathir. Seorang yang berumur 93 tahun ... ada banyak kekurangannya, tetapi diajak dan dipaksa untuk pecahkan undi Melayu.

Ini jelas mereka mempergunakan satu sama lain. Ini bukan soal gua caya sama lu. Ini ialah gua nak guna lu saja," katanya.

Najib juga berkata BN mempunyai agenda yang jauh ke hadapan untuk terus membangunkan negara supaya kemakmuran akan dapat dinikmati semua.
Beliau mempunyai cita-cita besar untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di Wilayah Persekutuan termasuk dengan pembinaan rangkaian sistem pengangkutan awam yang moden dan efisien.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS