CALONKINI | Politik bukanlah dunia asing bagi Muhammad Nizam Shith yang terlibat dalam Umno seawal usia 19 tahun.
Malah penglibatan itu bukan sekadar menjadi anggota biasa. Menurutnya, ketika usia yang hijau itu beliau sudah menjadi ketua Umno Cawangan Jalan Hulu Kelang.
Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang. Pada pilihan raya kali ini namanya dipilih untuk menggalas tugas untuk menawan kembali DUN Lembah Jaya di Selangor.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, lelaki berusia 42 tahun itu berkata beliau masih terkejut apabila dicalonkan, apatah lagi berita itu hanya disampaikan kepadanya sehari sebelum penyerahan watikah calon pada 23 April lalu.
"Saya tak pernah terfikir untuk menjadi calon. Diberi peluang untuk bertanding pada usia 42 tahun ini, saya terima dengan ikhlas dan besar hati kerana mendapat sokongan pimpinan bahagian dan negeri.
"Saya yakin mampu menang kerana saya dibesarkan di Ampang dan di seluruh kampung, taman, lorong semua kenalan dan kawan saya," katanya yang juga ketua Pemuda Bahagian Ampang.

Namun ia bukan tugas mudah jika mengambil kira majoriti yang dimenangi penyandang daripada PAS, Khasim Abdul Aziz pada PRU lalu, iaitu 8,713 pengundi.
Jumlah itu adalah peningkatan berganda berbanding majoriti yang diraih Khasim pada PRU 2008 - ketika kali pertama merampas kerusi itu daripada Umno - iaitu 2,228 undi menewaskan Ketua Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo.
Lembah Jaya merupakan salah satu daripada dua DUN dalam Parlimen Ampang.
Kerusi Parlimen itu dan juga satu lagi DUN di bawahnya, Bukit Antarabangsa juga dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU lalu.
Kali ini, Lembah Jaya menyaksikan pertembungan empat penjuru. Selain Muhammad Nizam dan Khasim, kerusi itu turut direbut Haniza Talha (PKR) dan Norizwan Mohamed (Parti Rakyat Malaysia).
Hakikat itu memberikan Muhammad Nizam keyakinan dengan mengharapkan perpecahan undi pembangkang.
"Haniza sukar untuk menang sebab beliau (sebelum ini ADUN) di Taman Medan. Khasim pula walaupun sudah menang dua penggal namun undi pembangkang akan pecah. Ia memberi kelebihan buat saya.
"Namun hanya kuasa Allah yang akan menentukan menang kalah, saya hanya mampu berusaha dan berserah," katanya yang bekerja sebagai jurutera.
Orang muda tiada rumah
Jika menang, Muhammad Nizam berkata akan berusaha menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi ramai golongan muda di Lembah Jaya.

"Boleh dikatakan setiap minggu ada golongan muda yang berkahwin (tetapi tidak memiliki rumah). Saya pernah melalui masalah itu.
"Sepanjang HARAPAN mentadbir, tiada satu tiang pun yang naik di Lembah Jaya. Jadi jika diberi mandat saya akan perjuangkan rumah mampu milik kerana penduduk di sini amat memerlukannya," katanya.
Pada PRU kali ini, jumlah pengundi DUN Lembah Jaya berkurang kepada 45,200 orang berbanding 48,668 orang pada PRU sebelumnya.
Peratusan pengundi Melayu pula meningkat daripada 55 peratus kepada 65 peratus, manakala peratusan pengundi Cina menurun daripada 32 peratus kepada 23 peratus dan pengundi India menurun daripada 13 peratus kepada 11 peratus.
CALONKINI memperkenalkan muka baru daripada pelbagai parti politik yang berpotensi menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14.
Wawancara ini bukan tanda sokongan daripada Malaysiakini.
