Ketika kempen pilihan raya umum ke-14 memasuki hari kelima, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin bahawa beliau tidak melihat sebarang tanda-tanda tsunami Melayu bakal melanda.

Tetapi tanpa mengambi kira pemerhatian Khaled, naratif "cerita tsunami Melayu" yang dicipta oleh pembangkang kini menjadi perbualan pelbagai pihak, termasuk juga oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, Khaled, yang bertanding di Parlimen Pasir Gudang, hadir memberi sokongan kepada rakan BN di kerusi parlimen Tebrau. Beliau kemudiannya mengadakan sidang akhbar.

Pada pilihan raya umum 2013, Umno menang kerusi Pasir Gudang manakala MCA turut berjaya di Tebrau.

Ditanya mengenai sambutan terhadap kempennya di Pasir Gudang, Khaled serta-merta menolak kemungkinan berlaku tsunami Melayu walaupun wartawan tidak membangkitkan perkara itu.

“Baik. Tidak adalah dikatakan tsunami Melayu dan sebagainya itu tak ada. Itu tak berlaku.

“Tiap-tiap malam kita mengadakan lebih daripada 25 ceramah serentak kita juga mendekati pengundi-pengundi semua kaum termasuk (dari) Sabah dan Sarawak. Jadi kita memang lakukan semua.

“Sebelah petang kita juga semua kempen di pasar malam di Pasir Gudang, ada kumpulan-kumpulan yang lakukan ini serentak. Pagi, petang (dan) malam. Kita ada 5,000 jentera dan sukarelawan,” kata Khaled, yang juga bertanding di DUN Permas, sebuah kerusi negeri di Parlimen Pasir Gudang.

Diminta mengulas lanjut, Khaled berkata tsunami Melayu tidak akan berlaku kerana DAP tidak mempunyai "agenda Melayu" dan sebaliknya menyerang institusi Melayu dan Islam.

“Sebab parti yang bertanding tidak ada tawaran untuk orang Melayu. Tengok DAP di Parlimen sentiasa bantai dasar kewangan Islam, itu dia tak jelaskan lagi.

“Dari segi negara, kita pakai dasar kewangan Islam, DAP dan sekutunya bantai Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), bantai kewangan Islam macam mana dia boleh ada tsunami Melayu?

“BN ada dasar orang Melayu, apa pendirian mereka (DAP)? Tingkatkan (tanah) rizab orang Melayu. Macam mana dia tidak ada tawaran untuk orang Melayu. Orang Melayu pasti sokong BN walaupun kita ada calon kaum lain tapi mereka akan sokong pastikan menang BN,” katanya.

Khaled berkata beliau yakin akan membantu BN mengekalkan Pasir Gudang dan Permas serta merampas Johor Jaya daripada DAP.

Permas dan Johor Jaya adalah dua kerusi negeri di bawah Parlimen Pasir Gudang.

Pada pilihan raya umum lalu, Khaled memenangi Permas dengan majoriti 5,752 undi manakala DAP memenangi Johor Jaya dengan majoriti 1,460 undi.

Bagaimanapun, di peringkat Parlimen, calon Umno, Normala Abdul Samad berjaya mengekalkan kerusi Pasir Gudang dengan majoriti tipis 935 undi.