ULASAN | Amalan meletakkan calon bukan anak tempatan kini menjadi ‘perjudian’ baru dalam politik Malaysia. Terutamanya di kalangan parti pembangkang.

Walau apa pun alasannya, budaya politik tradisi di kalangan rakyat umumnya masih menjadikan persoalan asal-usul dan tempat membesar seseorang calon sebagai ukuran penting. Maka amalan meletakkan calon luar sebenarnya sedang melawan politik tradisi dan sentimen tempatan. Sekali gus menjejaskan peluang boleh menang.

Calon tempatan biasanya lebih mesra dengan penduduk di sesuatu kawasan, kerana mereka mempunyai hubungan lebih daripada sekadar kepentingan politik. Anak tempatan mempunyai ikatan saudara-mara dan kawan-kawan sehingga menjadikan masyarakat cukup kenal hati budi seseorang calon.

Betapa pentingnya tradisi dan sentimen anak tempatan dapat kita rasai apabila tiba hari raya. Tidak kiralah sama ada hari raya bagi orang Melayu, Cina mahupun India, kita akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Mereka akan bercakap tentang kenangan masa lalu, menyebutkan nama orang tua-tua yang sebahagiannya sudah meninggal dunia dan perkembangan kawan-kawan lama yang membesar bersama. Di situlah bukti mudah bahawa di antara anak tempatan ada pertalian yang lebih daripada hanya kepentingan parti mahupun kepentingan undi.

Walau sehebat mana pun pencapaian seseorang sepertimana yang ditulis di dalam biodata calon, tapi kalau dia bukan anak tempatan, masyarakat selalunya tidak ambil peduli dan tidak ambil serius. Mereka lebih senang menanyakan soalan seperti “kau anak siapa?”, “bapa kau dulu kerja apa?”, atau misalnya “atuk kau dulu kawan baik bapa aku!”

Apalah yang mahu dibanggakan tentang kejayaan dan profile orang luar sedangkan dia bukan lambang kejayaan dan kemegahan orang setempat. Risiko biasa yang akan dihadapi ialah, kalau pun calon bukan anak tempatan itu menang, belum tentu dia akan membawa suara hati nurani masyarakatnya ke parlimen atau DUN. Kalau dia cuai terhadap pengundi pun, dia tak merasa terlalu bersalah kerana dia boleh lari ke kawasan lain dalam PRU akan datang.

Isu yang dibawakannya pun hanya isu umum, sedangkan setiap kawasan pilihan raya ada isu yang jauh mengakar dalam masyarakat. Isu yang jauh mengakar itu tidak terbentuk dalam satu-dua hari. Isu dan inspirasi tempatan sudah terbentuk tahun demi tahun, dekad demi dekad.

Sebagai contoh, Hannah Yeoh (atas) disenangi orang Subang Jaya adalah kerana dia sangat faham jiwa masyarakat Subang Jaya. Hannah lahir, bersekolah dan membesar di situ.

Menangis kehilangan Hannah

Dia tentu faham sentimen masyarakat Subang Jaya yang sebenarnya berbeza dengan sentimen orang Ampang mahupun dengan Petaling Jaya sekalipun. Maka tidak hairanlah akan ada yang menangis dan rasa sangat kehilangan ketika Hannah dipindahkan ke parlimen Segambut.

Sentimen anak tempatan boleh dilihat masih menebal di kalangan ramai pemimpin yang sudah lama bergelumang dalam politik. Tentulah rakyat keseluruhan memberi penghormatan yang tinggi misalnya kepada Muhyiddin Yassin yang memilih kekal bertanding di parlimen Pagoh.

Pada mulanya ada suara-suara yang menyebutkan Muhyiddin (atas) akan lari ke kerusi lain yang lebih selamat. Pagoh memang terkenal sebagai kubu BN.

Ternyata tidak! Rapatnya nama Muhyiddin dengan orang Pagoh sejak sekian lama menjadikan peluang Muhyiddin untuk menang di Pagoh sangat tinggi.

Begitu juga nama tokoh senior yang kekal di tanah kelahiran mereka seperti Shahrir Samad (Johor Bahru), Tunku Razaliegh Hamzah (Gua Musang) bahkan Najib Razak (Pekan) dan dahulunya Anwar Ibrahim (Permatang Pauh).

Lari ke kawasan selamat dan boleh menang akan hanya dilihat rakyat sebagai langkah pengecut dan mementingkan diri sendiri. Dia tidak akan dihormati seperti calon anak tempatan yang kekal berdiri teguh di tempat kelahirannya.

Sebab itulah terasa janggal apabila calon HARAPAN di Muar, Syed Saddiq Abd Rahman (atas) berhujah kemajuan Muar tidak sepesat Johor Bahru. Kenyataan keanak-anakan begitu akan ditertawakan bukan oleh orang luar, tetapi oleh orang Muar sendiri.

Adalah tidak munasabah membandingkan kemajuan ibu negeri dengan bandar lain di dalam negeri mana pun! Lebih-lebih lagi Muar dikenali sebagai “bandar yang damai”, yang dahulunya dihuni ramai warga pencen. Lantas pembangunan Muar adalah tak sama dengan mana-mana bandar dan daerah mana pun di Johor.

Kebimbangan bahawa calon HARAPAN di Muar akan lari ke parlimen lain wujud kerana sebelum ini pun memang begitu. Tidak ada seorang pun calon yang istiqamah untuk terus bertanding dan berjuang di Muar. Setiap kali kalah, setiap kali juga mereka meninggalkan Muar.

Masalah calon lari dan berpindah kini menjadi masalah besar dan menimbulkan tanggapan negatif. Bahkan ada calon utama dalam HARAPAN sendiri yang bukan sahaja berpindah dari kawasan lain dalam negeri yang sama, ada juga yang terus berpindah ke kawasan di negeri yang lain.

Kita boleh saksikan bagaimana presiden AMANAH misalnya yang sehingga kini tak pasti asal kampung halamannya. Beliau pernah bertanding di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan kini di Selangor. Begitu juga setiausaha agung PKR yang sekejap ke Kelantan, kemudian ke Kedah dan sekarang bertanding sampai dua kerusi iaitu DUN di Pulau Pinang dan parlimen di Kedah.

Semua kelakuan sebegitu sebenarnya diperhatikan rakyat. Mereka membincangkannya di warung-warung kopi dan melihat sikap buruk lari dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Suara kecil rakyat tidak dilaporkan media. Tetapi suara menolak calon luar itulah yang akan dapat dilihat wujud dalam kertas undi 9 Mei nanti.

Kalau pun tidak menjadi tsunami, suara orang kecil itu mungkin hanya riak gelombang. Tetapi sudah cukup untuk menolak calon yang bukan darah daging mereka.