Dakwaan PAS mendapat laluan mudah daripada BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk hanyalah pandangan peribadi Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad.

Ketua Pemuda PAS yang juga calon bagi kerusi DUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut menyifatkan pandangan tersebut datang daripada "orang yang kecewa".

“Itu pandangan dia dan itu saya rasa pandangan orang yang kecewa,” katanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Khalil berkata demikian mengulas kenyataan Raja Bahrin bahawa BN meletakkan calon lemah bagi memberi laluan mudah kepada PAS di DUN Batu Buruk pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 kali ini.

Raja Kamarul pada 26 April lalu berkata BN meletakkan calon kurang dikenali untuk berdepan anak presiden PAS itu walaupun sebelum ini mendakwa mahu merampas kerusi itu daripada PAS.

Raja Bahrin turut menyifatkan langkah BN sebagai "pertandingan persahabatan" antara parti itu dan PAS.

BN mencalonkan Zambri A Hitam untuk menentang Muhammad Khalil dan Raja Bahrin di DUN Batu Buruk pada 9 Mei ini.

'Parti lawan jentera'

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata kehadiran PAS dalam PRU adalah bagi melawan jentera parti bertanding dan bukan parti.

“PAS dengan Umno-BN ini sejak dulu lagi bertanding, PAS bukan bertanding parti lawan parti tetapi parti lawan jentera.

“Jadi tak betul bila kata PAS lawan Umno dan Umno letak calon lemah, daripada dulu lagi PAS lawan dengan jentera bukan dengan parti,” katanya.

Sementara itu mengulas perkembangan kempen beliau di DUN Batu Buruk, Muhammad Khalil berkata ia berjalan lancar dan beliau sangat optimis.

Bagaimanapun Muhammad Khalil berkata beliau tidak mahu terlalu yakin selain memberi fokus kepada tawaran yang hanya mampu dilaksanakan PAS pada pengundi DUN tersebut.

“Alhamdulillah, setakat ini respon pengundi sangat baik cuma kita tak over confidence, kita terus akan bekerja kerana kerusi DUN Batu Buruk ini memang kerusi PAS sejak dulu lagi tapi kita terus bekerja untuk terus pertahankan kerusi ini.

“Kita fokus kepada tawaran kita dan kita fokus kepada tawaran yang kita mampu buat,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-13, calon PAS, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menang di DUN Batu Burok dengan majoriti 2,273 undi.