SMS palsu dakwa MB tawar AS$100 bagi hadir ceramah PKR
PRU14 | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi dewan undangan negeri (DUN) Sungai Kandis Shuhaimi Shafiei mendakwa nombor telefonnya semalam digodam pihak tertentu dan diguna untuk menghantar SMS palsu.
Menurut Shuhaimi, SMS itu mengandungi tawaran wang kepada pengundi yang menghadiri program HARAPAN di Taman Seri Andalas semalam.
Pada sidang media di pusat gerakannya di Bukit Kemuning hari ini, Shuhaimi membacakan kandungan SMS berkenaan yang berbunyi:
"Ceramah umum PKR untuk DUN Sg Kandis oleh MB Selangor. Jam 9 malam di Pusat Rakan Muda Taman Seri Andalas.
"Makan minum dan elaun kehadiran disediakan RM100."
Shafiei juga mendakwa dia dimaklumkan kewujudan mesej seumpamanya dengan jumlah tawaran wang berbeza iaitu RM1,000 dan AS$100.
"Saya dapat panggilan daripada pengundi. Ada yang tanya bagaimana mereka boleh mengutip wang itu, ada juga yang rasa HARAPAN tak akan buat hal seperti itu," katanya.
Shuhaimi tidak pasti jumlah pengundi yang menerima SMS berkenaan namun menjelaskan lebih 100 SMS masuk di telefonnya pagi ini dengan kandungan yang mengelirukan.
"Tapi yang menggalakkan, kebanyakan mereka kata mereka sudi hadir ceramah kami (HARAPAN) tanpa perlu ditawarkan duit," katanya.
Dalam sidang media itu, Shuhaimi juga berkata dia tidak percaya pada amalan menawarkan wang kepada pengundi.
Susulah itu, tambahnya, laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi untuk menyiasat perkara itu.
Sungai Kandis yang sebelum ini dikenali sebagai Seri Andalas berjaya dipertahankan oleh wakil PKR Xavier Jeyakumar pada PRU lalu dengan majoriti undi 15,633 mengalahkan calon BN dan tiga calon bebas lain.
Shuhaimi akan mempertahankan kerusi itu pada PRU kali ini dalam pertembungan empat penjuru berdepan calon BN Kamaruzzaman Johari, calon PAS Mohd Yusof Abdullah dan calon PRM Hanafiah Husin.

