PRU14 | Calon BN, Wong Kam Seng tidak terkejut dengan kritikan terhadap posternya yang berbunyi "Undi BN sama dengan menyokong China".

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Menglembu itu memberitahu Sin Chew Daily bahawa beliau telah memikirkan mengenai perkara itu sebelum muncul dengan slogan terbabit.

Wong berkata China adalah rakan dagangan penting dan dijuluki dengan gelaran "Cai Shen Ye" Malaysia (Tuhan Kemakmuran).

Beliau berkata dengan memastikan hubungan baik antara Malaysia dan China akan memberi manfaat kepada masyarakat Cina di sini.

"Kita adalah keturunan Maharaja Yan dan Maharaja Kuning, tapi kita adalah rakyat Malaysia. Kita tidak boleh lupa akar kita.

"China memiliki ekonomi kedua terbesar di dunia, dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka banyak melabur di sini. Hubungan yang kuat dengan China hanya akan membawa seratus manfaat dan tidak ada masalah," katanya.

Wong berkata beliau tidak akan tunduk kepada tekanan dari netizen, terutamanya golongan belia sambil menggesa mereka melihat masa depan negara dan tidak membantah hanya untuk sekadar memprotes.

Beliau berkata ramai netizen yang mengkritiknya bukan pengundi Menglembu.

Wong, 44, memiliki perniagaan makanan kesihatan dan menjadi anggota veteran MCA bahagian Batu Gajah selama 26 tahun.

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kali ini merupakan pertama kali beliau dicalonkan.

Wong akan berdepan Chaw Kam Foon dari DAP dan Chin Kwai Leong dari PSM.

Menglembu, yang terletak di Perak telah lama menjadi kubu DAP dan terkenal dengan industri kacang tanah.