PRU14 | Calon BN Titiwangsa yang juga merupakan menteri kewangan kedua sementara Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak bimbang dengan kemunculan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad di kawasannya semalam.

"Saya tidak risau kerana dengan pemimpin utama yang datang namun jumlah yang hadir tidak lebih 3,000," katanya ketika dihubungi.

Menurut Johari, kebanyakan yang hadir adalah masyarakat Cina dari kawasan lain termasuk Bukit Bintang, Cheras, Wangsa Maju, Batu dan Pandan.

Kalangan orang Melayu pula, katanya, hanyalah mereka yang merupakan penganjur, ahli PKR dan 'tukang sorak'.

Kesimpulan itu, jelasnya, dibuat selepas menghantar pasukannya menemu ramah kira-kira 100 yang menghadiri program HARAPAN berkenaan.

"Setiap 10 orang yang mereka tanya, jarang-jarang ada yang dari Titiwangsa. Tak ada sesiapa pun dari Desa Pandan," katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan kira-kira 1,500 hadir program yang menampilkan Dr Mahathir semalam dalam hujan.

Meskipun menegaskan tidak bimbang dengan perkara itu, Johari melalui akaun Twitternya dilihat menjemput pengundi di kawasannya menghadiri program di Desa Pandan empat jam sebelum ceramah Dr Mahathir.

Diminta mengulas lanjut, Johari berkata, "Saya ada kehadiran penuh dalam program itu. Semuanya penduduk tempatan."

Titiwangsa merupakan satu-satunya kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Kuala Lumpur.

Pada pilihan raya umum (PRU) kali ini, Johari akan mempertahankan kerusinya dalam pertembungan tiga penjuru berdepan calon HARAPAN Rina Mohd Harun dan calon PAS Mohamad Noor Mohamad.

Pada 2013, Johari memenangi kerusi berkenaan dengan hanya 866 majoriti undi.

Titiwangsa mempunyai 61,598 pengundi yang terdiri daripada 72 peratus pengundi Melayu, 17 peratus Cina dan sembilan peratus India.