Ketua bahagian Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos bukanlah seorang calon. Beliau bagaimanapun dilihat bekerja keras bagi memenangkan calon BN.

Di kampung Melayu Sungai Leman Bendang Utara di Sekinchan malam tadi, Jamal menemani calon BN di situ Lee Yee Yuan untuk memperkenalkan diri kepada kira-kira 100 penduduk.

Selepas Lee beredar, Jamal mengambil alih pentas dan menyeru “askar-askar” BN memastikan kemenangan parti itu bawah kepimpinan perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.

“Perjuangan kita hari ini perjuangan menentukan kerajaan. Penting! Jangan kita kalah dengan mereka. Jangan kita lemah dengan ajakan mereka.

“Kita mesti menjadi seorang askar yg kuat, kita mesti menjadi jentera yg gagah supaya siapapun datang tidak sekali-kali melemahkan jiwa,” katanya disambut laungan “Hidup Barisan”.

Tidak puas hati, Jamal menuntut laungan yang lebih kuat.



Selepas itu, Jamal pun berkata “Lima puluh ringgit. Ambil beg saya” yang membuatkan orang ramai bertepuk tangan.

Beliau kemudian mengedarkan wang RM50 kepada hadirin.

Jamal bagaimanapun memberitahu Malaysiakini pemberian itu bukan rasuah, tetapi upah.

“Ini semua jentera, untuk buat kerja pacak bendera, pasang bunting dan sebagainya. Jadi saya sebagai ketua kat sini, saya bagilah upah. Bukan rasuah,” katanya.


Pada Isnin malam, Jamal turut hadir dalam acara dengan penyokong Cina di Sekinchan. Orang ramai dihidangkan dengan jamuan, persembahan dan cabutan bertuah wang tunai RM25,000 (bawah).

Sekinchan antara Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah Sungai Besar. DAP sudah menang di kawasan itu selama tiga penggal, tetapi dengan majoriti kecil.



Sementara itu, Lee dalam kenyataannya hari ini berkata tidak pasti berkaitan sumber dana untuk acara Isnin lalu dan malam tadi.

“Saya diundang ke konsert dan saya gunakan peluang itu untuk memperkenalkan diri kepada penduduk Sekinchan,” katanya.

Katanya, beliau meninggalkan acara itu selepas berucap.

“Bagaimanapun, saya secara peribadi membantah undi rasuah. Malah, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak pernah mengajar kami (calon-calon parlimen dan DUN) cara kempen sebegitu.

“Pihak lawan hanya mencari jalan untuk mencetuskan kontroversi melalui politik murahan dengan isu isu yang tidak masuk akal,” katanya.

[Baca berita asal]