Polis rekod 8 kes sejak kempen bermula
Sebanyak lapan kes telah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 sejak penamaan calon Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kes-kes itu antaranya melibatkan dua ceramah kempen yang tiada permit dan satu kes khianat melibatkan kebakaran.
"Selain itu, terdapat juga tiga kes menceroboh di bawah Sekyen 427 Kanun Keseksaan, satu kes di siasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan satu kes laporan yang melibatkan 'inkuiri' terhadap polis.
"Bagi kes yang disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar itu, ia melibatkan kes mengenai dakwaan Tun Mahathir berkenaan isu sabotaj jet yang sepatutnya menerbangkan beliau ke Langkawi pada Jumaat lepas," katanya selepas merasmikan program Peningkatan Kesedaran Pencegahan Jenayah di Jalan Raya di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya PDRM juga telah membuat persediaan bagi proses undi awal yang akan diadakan Sabtu ini dengan menempatkan 437 anggota untuk mengawal 82 saluran di 23 pusat pengundian seluruh Kuala Lumpur.
Bagi PRU ke-14, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian awal pada 5 Mei dan hari pengundian dijadualkan pada 9 Mei ini.
-Bernama

