Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undi ijtihad, tak siapa boleh putuskan pilihannya benar 100%

ULASAN | Terlebih dahulu, jangan kita bicara tentang golongan yang mengikuti sesuatu secara ‘mengkhinzir buta’. Golongan yang memberikan undi hanya atas ikut-ikutan tidak dihitung dalam perbincangan ini kerana mereka telah menyanggahi arahan Allah (seperti dalam Surah al-Isra ayat 36) supaya jangan kita ikut apa yang kita tiada ilmu mengenainya.

Adapun golongan yang berusaha mencari yang terbaik dan paling diredai Allah pasti mereka akan menilai setiap perkembangan dan mempertimbangkan baik dan buruk pilihan yang dibuat. Mereka dengan penuh sedar tahu bahawa Allah akan menghisab undi mereka di akhirat kelak jika mereka sengaja memberikan kepada pihak yang merosakkan.

Namun, dalam menentukan siapakah yang terbaik, setiap orang akan mempunyai ijtihad ataupun pandangan masing-masing. Apatah lagi dalam konteks Malaysia hari ini yang pada penilaian saya bahawa tiada parti yang terbaik. Apa yang ada hanyalah siapakah yang ‘paling kurang mudarat’ untuk negara ini. Dalam menafsirkan ‘kurang mudarat’ itu, sekali lagi kita akan berbeza-beza pendapat dan penilaian. Bahkan dalam mendefinasikan mudarat itu sendiri, akan berlaku perbezaan takrifan dan ruang. Inikan pula dalam meramalkan mudarat pada masa hadapan selepas PRU dan seterusnya. Pasti kita akan berbeza-beza.

Penilaian baik buruk, salah benar dalam politik tidak sama dengan penilaian sah batal dalam solat, puasa, zakat dan haji. Perkara-perkara itu kebanyakannya mempunyai nas yang jelas. Pun begitu, masih terdapat ruangan ijtihad dalam hukum-hakam semua ibadah tersebut. Apatah lagi dalam urusan politik yang nas-nasnya sangat umum dan sangat terdedah kepada pelbagai ijtihad. Arahan-arahan agama dalam hal politik sangat bersifat umum dan dalam sebahagian keadaan tidak boleh terikat dengan nas secara literal. Ia memerlukan pemahaman kepada Maqasid Syariah dan memahami Fiqh al-Waqi’ (memahami realiti semasa).

Ini seperti yang disebut al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) ketika mengulas tentang siasah. Kata al-Imam Ibn Qayyim: “Berkata seorang yang bermazhab Syafii: “Tiada siasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”.

Jawab Ibn ‘Aqil: “Siasah ialah apa yang merupakan perbuatan yang mana dengannya (perbuatan itu) manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun Rasulullah tidak menetapkannya dan wahyu tidak turun mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu 'tiada siasah melainkan apa yang menepati syarak' iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga bererti menyalahkan para sahabah… Apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun, maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya. Allah SWT itu lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu perkara (sahaja) kemudian menafikan (kewujudan keadilan) yang lebih nyata daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih jelas tandanya dan (mustahil) Allah tidak menerima dan mengambil kira kewujudannya serta menegakkan tuntutannya. Bahkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa tujuan Dia mensyariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) ialah untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia (hamba-hamba-Nya) menegakkan keadilan. Apa sahaja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu daripada (ajaran) agama ini, dan ia tidak menyanggahinya. Maka tidak boleh untuk dikatakan bahawa siasa yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak. Sebaliknya ia (siasah yang adil) itu menepati syarak. Bahkan siasah yang adil itu satu juzuk dari syarak. Kita menamakannya siasah (politik) mengikut istilah mereka, padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti)” [Ibn Qaiyim al-Jauziyah, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah, 19-20. Beirut: Dar Ihya al-‘Ulum (t.t)]

Setelah kita tahu tujuan utama penegakan politik syarak itu, iaitu menegakkan keadilan dan maslahah dalam kalangan manusia, dan kemudian kita tahu jalan ke arah itu banyak dibina atas ijtihad. Dalam mentahqiqkan (merealisasikan) maksud keadilan dan maslahah itu, manusia akan berbeza-beza pandangan dan pendapat. Keikhlasan akan menentukan, siapa yang mencari kebenaran dan siapa yang mengikut nafsunya.

Justeru itu, jika kita mendapati seseorang itu zahir padanya keikhlasan diri dalam mencari kebenaran, kemudian dia berbeza dengan kita, maka hormatilah pilihannya. Mereka yang memilih BN ataupun memilih Pakatan Harapan mungkin melihat beberapa aspek yang pada sangkaan mereka melebihi yang lain secara perbandingan dalam merealisasikan maksud keadilan dan kemaslahatan awam. Mereka yang memilih PAS juga mungkin melihat keadilan dan maslahah pada dimensi yang tersendiri. Mungkin juga mereka menilai pihak mana yang paling kurang kezaliman dan kerosakan bagi mengimbangi maksud siasah yang lebih adil dan maslahah. Semuanya ijtihad. Tiada siapa yang boleh memutuskan pilihannya benar seratus peratus. Maka, hormatilah pilihan masing-masing. Kekallah kita bersahabat sebagai rakyat Malaysia. Bagi yang Muslim, kekallah berukhuwwah sebagai Muslim.


DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS