Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Seminggu sebelum PRU, HARAPAN curi undi PAS'
Diterbitkan:  May 2, 2018 6:12 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

PRU14 | Pakatan Harapan (HARAPAN) dapat meraih sokongan di kalangan pengundi Melayu pada separuh kedua bulan April 2018 ini, kebanyakannya daripada PAS, menurut satu kajian pilihan raya oleh badan tinjauan bebas Merdeka Centre.

Pusat tinjauan itu meletakkan sokongan Melayu kepada HARAPAN sebanyak 27.8 peratus pada hari ini, meningkat daripada kadar 20 peratus pada 9 April lalu.

Bagaimanapun, HARAPAN hanya mendapat bahagian kecil dalam usahanya menghakis sokongan Melayu kepada BN, mengurangkannya daripada 53 peratus kepada 51.2 peratus.

Sebahagian besar sokongan Melayu kepada HARAPAN berasal daripada PAS, yang menunjukkan sokongan Melayu menurun daripada 27 peratus kepada 20.9 peratus.

Setakat ini bermakna HARAPAN hanya kekurangan sebanyak 6.2 peratus undi Melayu bagi mencapai sasaran kemenangan 100 kerusi parlimen di Malaysia Barat, berbanding kejatuhan 14 peratus pada awal bulan ini.

Rumusan ini dibuat dengan andaian sokongan pengundi Cina dan India kekal stabil pada tahap 85 peratus dan 54 peratus.

Pengarah program Merdeka Center, Ibrahim Suffian (gambar, atas) berkata perubahan itu berlaku selepas hari penamaan pada 28 April, yang mana para pengundi kini tahu siapa calon-calon HARAPAN dan mula memikirkan keputusan mengenainya.

Ibrahim membentangkan hasil kaji selidik pada Siri Seminar IKMAS-Merdeka Center bagi Pilihan Raya Umum ke-14 - berjudul "The Battleground States” (Negeri-negeri yang menjadi medan tempur).

Walaupun peningkatan sokongan Melayu sebanyak 7.8 peratus dalam tempoh dua minggu mungkin mengagumkan, gabungan parti pembangkang itu cuma memiliki hanya satu minggu untuk cuba meningkatkan sokongan orang Melayu sebanyak 6.2 peratus lagi.

Sasaran ini diperlukan bagi HARAPAN untuk memenangi 100 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia dan gabungan itu hanya memerlukan 12 lagi kerusi di Malaysia Timur bagi mengambil alih Putrajaya.


 

Lihat Komen
ADS