Dr M mungkin perlu lebih dari 2 tahun sebagai PM
Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mungkin perlu “dua atau tiga tahun” sebagai perdana menteri jika pembangkang menang pilihan raya minggu depan.
Sebelum ini, HARAPAN memutuskan Mahathir akan menjadi perdana menteri selama dua tahun, sebelum cuba membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pengampunan diraja dan menyerahkan pentadbiran kepada bekas ketua pembangkang itu.
“Tak perlu masa lama untuk pengampunan Anwar, tetapi saya perlu lebih masa di pejabat – dua tahun, tiga tahun – kerana ada perkara saya perlu buat, dengan pengalaman saya,” katanya kepada The Guardian.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar berulang kali menafikannya dan mengaitkan dengan konspirasi politik.
Anwar dijadual dibebaskan 8 Jun ini, selepas pilihan raya umum ke-14.
Sementara itu, Mahathir juga berkata akan cuba menyelesaikan masalah negara dalam dua tahun dan mewujudkan garis panduan bagi masalah yang memerlukan masa lama untuk ditangani.
Sementara itu, bercakap dengan harian Jepun, The Manichi, beliau berkata realistik dengan umurnya.
“Saya tidak boleh kekal lama sangat. Paling lama dua tahun,” katanya.
Mahahtir akan mencecah 93 tahun pada Julai depan.
[Baca berita asal]

