PRU14 | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nik Omar Nik Abdul Aziz Amanah dijadual menyampaikan ucapan pada majlis ceramah di Putrajaya esok.

Mereka bakal berucap pada majlis ceramah yang dijadualkan belangsung jam 8.30 malam berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presinct 3.

Keputusan Nik Omar untuk meninggalkan PAS bagi bersama AMANAH menimbulkan pelbagai maklum balas kerana keputusan HARAPAN yang mengejutkan dengan meletakkan anak kedua allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu di kerusi DUN Chempaka di Kelantan.

DUN Chempaka amat penting kepada PAS kerana ia merupakan kerusi yang diwakili bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat selama enam penggal.

Nik Omar ialah anak kedua Nik Aziz. Walaupun beliau telah lama menjadi ahli PAS, beliau tidak aktif secara politik sehinggalah kini.

Menurut seorang pemimpin AMANAH, ceramah Nik Omar di Putrajaya akan membolehkan beliau berhubung dengan banyak kakitangan awam Kelantan di sana.

"Peristiwa ini penting kepada penyokong atas pagar. Orang Melayu yang lebih terbuka akan berada di sana untuk Mahathir.

"Nik Omar pula akan menarik olongan konservatif, yang kurang tertarik kepada Mahathir," katanya.

Menurut sumber itu, Nik Omar aktif dalam kegiatan dakwah di Lembah Klang dan oleh itu beliau bukan orang asing di sini.

Beliau dijangka berkempen di pantai barat semenanjung Malaysia sehingga Ahad ini sebelum kembali berkempen di Kelantan.