PRU14 | Presiden Parti Warisan Sabah (SABAH) Datuk Seri Shafie Apdal percaya perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak dan ketua menteri Sabah sementara Tan Sri Musa Aman kini sangat takut kehilangan kuasa di negeri itu.

"Dia sangat takut dengan perkembangan gelombang putih (WARISAN) yang sedang terjadi di Sabah sehingga dia terpaksa selalu datang," kata Shafiei merujuk kepada Najib.

Najib pada Isnin lalu meluangkan masa di Sandakan dan Tawau.

Sementara itu, Shafie menyorot bagaimana Najib yang menurutnya "lari ke Semporna dan Tawau sebaik parlimen dibubarkan "untuk melemparkan tuduhan" terhadapnya.

"Dia berani tipu depan penyokong saya yang saya tikam dia dari belakang. Kini selepas penamaan calon dia datang lagi ke Sandakan dan beritahu orang di Batu Sapi yang saya mahu jadi ketua menteri.

"Ya, ampun! Kenapa saya mahu jadi ketua menteri kalau saya lebih gembira dengan jawatan saya ketika itu sebagai menteri persekutuan? Tak perlu tipu untuk dapatkan sokongan dan kuatkan Umno. Masa untuk Umno BN sudah hampir habis dan ini semua kerana tindakan mereka sendiri," katanya.

Shafie menjelaskan kini beliau berhasrat menjadi ketua menteri kerana beliau perlu "membetulkan kesalahan yang dibuat oleh pentadbiran Najib dan Musa".

"Jika kita tidak tampil sekarang untuk menghentikan kebobrokan, Sabah akan binasa. Kerajaan persekutuan mencuri sumber kita dan Musa serta pucuk pimpinannya di Sabah tidak buat apa-apa untuk rakyat," katanya.

Dalam PRU ke-14, Shafie akan mempertahankan parlimen Semporna dan akan menentang sepupunya Nasir Sakaran di dewan undangan Negeri Senallang.