Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berhenti fitnah PAS terima duit Umno, kata Tuan Ibrahim pada Dr M
Diterbitkan:  May 2, 2018 9:42 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

PRU14 | Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berhenti memfitnah PAS dalam soal dakwaan dana parti itu sebaliknya mendedahkan sumber kewangan Pakatan Harapan (HARAPAN) sendiri, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata beliau hairan dengan cara kempen HARAPAN yang diketuai Mahathir yang mendakwa PAS menerima dana daripada Umno untuk mengalahkan mereka.

"Ia satu fitnah dangkal dan tiada niat lain selain mengelirukan dan mencuri undi rakyat dengan taktik kotor.

"Apakah beliau sudah dapat merasakan 'tsunami Melayu' yang diharapkan kini bergerak ke arah PAS yang terbukti bebas daripada rasuah?" katanya dalam kenyataan.

Beliau membangkitkan keputusan Mahkamah Tinggi London dalam kes saman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi terhadap laman Sarawak Report.

Semalam, Wan Rohimi Wan Daud mengumumkan anak guamnya menang lima penghakiman interlokutori (keputusan yang tidak menyelesaikan kes sepenuhnya) terhadap editor Clare Rewcastle-Brown.

PAS menyifatkannya sebagai kemenangan moral manakala Sarawak Report berkata ia baru saja bermula dan dalam proses meminda penyataan pembelaannya.

Dengan keputusan mahkamah itu, Tuan Ibrahim berkata Mahathir tidak perlu membuang masa dengan melemparkan tuduhan terhadap PAS.

"Beliau sepatutnya menjawab dahulu pertayaan presiden PAS tentang sumber kewangan HARAPAN pada PRU ini, serta wang untuk menggunakan jet peribadi.

"Sila dedahkan, jangan hanya sibuk fitnah PAS," katanya yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian pada pilihan raya ini.

Lihat Komen
ADS