Rangkuman hari ke-5: Mahathir dan Daim, Faiz dan Fauwaz
PRU 14 | Kempen pilihan raya umum ke 14 telah masuk hari kelima, HARAPAN dan BN terus saling menyerang dengan isu-isu kempen masing-masing. Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyeru orang ramai menerima apa sahaja yang diberi BN tetapi mengundi HARAPAN.
"Sebabnya ialah duit ini adalah duit mereka yang dicuri oleh Najib. Duit ini bukan duit Najib. Penerima tidak perlu undi BN," kata Mahathir.
Pengerusi BN Datuk Seri Najib sewaktu berkempen di Puncak Alam, siang tadi meneruskan serangan terhadap HARAPAN, kali ini menggunakan isu air di Selangor berkata, kerajaan negeri "nak ambil alih SPLASH (Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor) pun masih tidak selesai sehingga ada ungkapan pemimpin PKR dapat undi rakyat dapat baldi."
Malam tadi pula, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan Dr Mahathir Mohamad disiasat atas dakwaan menyebarkan berita palsu, mengenai isu sabotaj pesawat yang dinaiki pengerusi HARAPAN itu.

Sementara itu, bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin menyebut singkatan, "RABU-Rakyat akan buang Umno," dalam ceramah kempen calon PKR Fahmi Fadzil di Lembah Pantai malam tadi.
Daim juga memberitahu pemberita, "Akta Anti Berita Tidak Benar dan persempadanan semula SPR menjadi sebab utama beliau menyokong HARAPAN."
Politik keluarga
Manakala itu politik keluarga terus mendapat sorotan dalam PRU14 ini. Pada saat hubungan dua Nik Abduh dan Nik Omar - dua anak allayarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - kelihatan keruh ekoran perbezaan parti, hubungan anak-anak seorang lagi pemimpin PAS dilihat kekal mesra walaupun berdepan perkara sama.
Anak-anak bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil berkongsi hantaran di media sosial berkenaan kunjungan abang dan adiknya - Aiman dan Fauwaz - di Permatang Pasir, Pulau Pinang.
Mereka (gambar) dilihat mesra bergurau-senda walaupun nampaknya menyokong pihak berbeza pada PRU kali ini.

Walaupun belum muktamad, pandangan serta ramalan penganalisis politik dan hasil kajian penyelidik dapat memberi gambaran corak pengundian PRU14 pada 9 Mei ini.
Penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Azizuddin Mohd Sani, meramalkan DUN Kedah berada dalam keadaan tergantung, dengan BN dijangka menang 16 daripada 36 kerusi DUN di Kedah, diikuti HARAPAN (12) dan PAS (8).
Faktor Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin pembangkang disebut Mohd Azizuddin.
Mahathir pencetus 'tsunami Melayu'
Bagaimanapun, Mahathir yang menjadi pencetus utama gelombang 'tsunami Melayu' di semenanjung dilihat menjadi halangan bagi usaha Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal untuk menjatuhkan BN di negeri itu, kata penganalisis politik Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak.
Puyok juga berkata pengaruh Shafie hanya setakat di pantai timur Sabah, kawasan tumpuan kerja-kerja politik WARISAN sepanjang dua tahun lalu ini.

Hari ini juga, badan tinjauan Merdeka Centre memberitahu dapatan kaji selidik mengenai PRU14. Antara hasil tinjauan itu, menyaksikan lonjakan besar sokongan India di Kedah kepada HARAPAN tetapi percubaannya untuk menarik pengundi Melayu masih berjalan dengan perlahan.
Merdeka Centre juga mendapati sokongan Melayu kepada BN telah jatuh kurang daripada separuh.
Sokongan Melayu untuk HARAPAN di Kedah hanya meningkat sedikit sepanjang tempoh itu.
HARAPAN masih kurang 10 peratus sokongan Melayu untuk membolehkan gabungan itu berpeluang menawan Kedah.
HARAPAN curi sokongan Melayu PAS
Namun demikian, HARAPAN dapat meraih sokongan pengundi Melayu pada separuh kedua bulan April 2018 ini, kebanyakannya daripada PAS. Pusat tinjauan itu meletakkan sokongan Melayu kepada HARAPAN sebanyak 27.8 peratus pada hari ini, meningkat daripada kadar 20 peratus pada 9 April lalu.
Pengarah eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian percaya PAS akan mengalami kekalahan besar di pantai barat semenanjung Malaysia.
HARAPAN juga semakin hampir untuk menawan Johor meskipun setakat ini BN masih menang tetapi pertandingan itu dijangka "sengit" ketika minggu terakhir berkempen.
HARAPAN hanya kekurangan sebanyak 6.2 peratus undi Melayu bagi mencapai sasaran kemenangan 100 kerusi parlimen di pantai barat semenanjung Malaysia.

