Surat buat ahli Umno: Nauzubillah, jika Najib perintah lagi...
Tidak sampai seminggu sebelum pilihan raya umum 9 Mei, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis surat terbuka untuk anggota Umno yang pernah dipimpinnya dahulu.
Bekas presiden Umno yang kini memimpin gabungan pembangkang itu antaranya mengingatkan, parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak sekarang “tidak lagi Umno”.
“Segala asas perjuangan Umno sudah dihapuskan Datuk Seri Najib sehingga parti yang mulia dahulu menjelma menjadi parti yang ditolak dan dibenci oleh sebilangan besar orang Melayu,” surat tiga muka surat itu dipetik.
Mengungkit skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib, Mahathir mengingatkan perubahan negara masih belum terlambat.
“Sekarang pemulihan masih boleh dibuat. Jika, nauzubillah (moga dijauhkan Allah), Najib dapat teruskan pemerintahannya, pemulihan tidak mungkin lagi.
“Ini adalah saat terakhir, peluang terakhir bagi saudara-saudari menebus nasib bangsa, negara dan agama.
“Oleh itu kalahkanlah Najib dan Umno songsang yang dipimpinnya,” kata perdana menteri keempat yang memerintah 22 tahun, paling lama dalam sejarah Malaysia.
Dalam tulisan itu, Mahathir juga mengingatkan anggota Umno tidak mengundi BN dan PAS yang didakwa bersekongkol dengannya.
“Kalau sayang bangsa, negara dan agama berilah peluang kepada saya dan rakan dengan mengundi untuk kami,” kata calon perdana menteri Pakatan Harapan.
Mahahir dilihat turut memerlukan undi anggota Umno jika mahu memastikan agenda “tsunami Melayu” yang digerakkannya bersama pembangkang menjadi kenyataan.

